KISAH PESAKIT MENTAL SUNGAI BARU TOK KERAMAT

Pada 7 Julai 2025, telah diadakan satu persidangan kes melibatkan seorang pesakit mental lelaki berumur 58 tahun yang tiada tempat tinggal. Sejak sekian lama beliau tinggal sebatang kara di sebuah rumah kecil tinggalan keluarganya di Kampung Sungai Baru Tok Keramat, Anak Bukit.

Bulan lalu, beliau menjadi tidak sihat dan dimasukkan ke wad psikiatri untuk rawatan. Amat menyedihkan, sekembalinya dari hospital, rumah beliau telah dipecahkan oleh keluarga terdekat kerana tidak berpuas hati atas perlakuan agresifnya ketika tidak sihat sebelum ini. Selepas itu, dia masih tinggal di rumah berkenaan dan tidur di dalam tandas yang masih berbumbung tetapi cuma beralaskan sebuah kerusi malas. Makan minumnya diuruskan oleh sepupu yang tinggal berjiran.

Dalam persidangan kes hari ini yang saya atur di rumah sepupu beliau tersebut, kami dan keluarga pesakit telah mengambil ketetapan untuk menghantar beliau ke sebuah rumah kebajikan swasta di Sungai Petani dengan bayaran bulanannya akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Pihak Hospital pula akan mempercepat urusan laporan perubatan beliau.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Hamidi bin Mohd Noor iaitu Pegawai Zakat Daerah Kota Setar dan wakil Ibu Pejabat LZNK, Dr Siti Zubaidah binti Ismail Pakar Psikiatri bersama Unit Psikiatri Komuniti Hospital Sultanah Bahiyah, Penghulu Mukim Sungai Baru, Pengerusi MKK dan Penolong Amil Sungai Baru kerana sama-sama hadir membantu mencari jalan penyelesaian. Inilah peranan kami Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital yang memudahcara dan menghubungkan agensi demi kesejahteraan pesakit mental. Semoga masyarakat sentiasa cakna akan kebajikan pesakit-pesakit mental dalam komuniti.








Kemaskini 8 Julai 2025 : Pesakit ini telah dihantar dan didaftar masuk ke sebuah rumah penjagaan warga emas swasta di Sungai Petani. Terima kasih diucapkan kepada pihak LZNK di atas gerak kerja yang pantas. Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas jasa semua pihak yang membantu memudahkan urusan pesakit ini.

                            

Comments