LAWATAN TEMUSERU KLIEN ALOR SETAR DAN KUALA KEDAH

Pada 20 Ogos 2025, saya bersama Unit Rawatan dan Pemulihan AADK Daerah Kota Setar & Pokok Sena mengadakan program temuseru (outreach) Orang Kena Pengawasan (OKP) AADK yang gagal melapor diri. Mereka ini dijejaki di sekitar Kampung Padang Kuala Kedah, Gunung Sali, Kubang Siam dan Kampung Seberang Terus Alor Setar. Ada yang berjaya kami temui dan diserahkan surat untuk melapor diri segera. Ada yang sudah masuk penjara dan pusat pemulihan dadah swasta. Ada juga yang hilang dan tidak dapat dikesan.

Lawatan inisiatif Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Kota Setar ini adalah satu lawatan ‘kasih sayang’ sebagai peringatan terakhir buat mereka agar melapor diri dengan segera. Jika masih gagal, mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tempoh 3 tahun, atau sebatan tidak melebihi 3 sebatan atau kedua-duanya sekali.









Comments