ADAKAH UBAT ANDA BERKESAN?
Lambakan ubat-ubat dan makanan kesihatan yang boleh dibeli terus
daripada pasaran menjadikan industri ini menjadi satu perniagaan yang amat
menguntungkan di negara kita. Bahan dan kaedah alternatif ini dijual dengan
bertemakan ‘ubat kuat’ untuk lelaki, menguruskan badan dalam masa yang singkat,
produk kecantikan malah ada yang mengaku dapat menyembuhkan penyakit-penyakit
kronik. Selain pil, tidak kurang juga yang menjualnya dalam bentuk jus dan
kopi. Sehingga ada yang mendakwa ubat mereka boleh menyembuhkan semua penyakit
daripada diabetes hingga kanser. Maka tidak hairanlah, rakyat dan pengguna
sentiasa tertipu dengan ubat-ubatan ini yang berselindung di sebalik istilah
tradisional, herba dan ramuan semulajadi. Negara kita tidak seperti negara maju
lain seperti Amerika Syarikat yang mana ubat-ubat di pasaran dikawal dengan
ketat oleh agensi Food&Drug Administration(FDA) dan setiap pembelian
ubat yang terkawal ini memerlukan preskripsi daripada pengamal perubatan yang
bertauliah. Mungkin pihak kerajaan kurang bertegas dalam isu ini kerana tidak
mahu dikatakan menyekat industri makanan kesihatan dan rawatan tradisional yang
sedang berkembang pesat di negara kita sejak akhir-akhir ini.
Sebagai pengguna yang bijak, persoalannya sekarang bagaimanakah untuk
kita tahu yang ubat-ubat ini sebenarnya selamat dan berkesan? Tidak dinafikan
banyak syarikat yang menyatakan ubat mereka mendapat kelulusan Kementerian
Kesihatan yang menjamin produk mereka selamat, tetapi adakah ia berkesan? Dalam
bidang perubatan moden, terdapat satu disiplin ilmu yang dinamakan Evidence
Based Medicine (EBM) atau perubatan yang berasaskan bukti saintifik. Ini
merupakan satu kaedah yang akan memastikan ubat atau prosedur perubatan yang
dipraktikkan benar-benar berkesan dan bermanfaat kepada pesakit. Maksudnya,
sebelum sesuatu ubat itu dipasarkan setiap ubat akan dinilai melalui pelbagai
peringkat dan dalam pelbagai aspek dari sudut etika, keselamatan, kesan
sampingan dan manfaat yang boleh diberikan dalam menyembuhkan sesuatu penyakit.
Setiap pesakit yang terlibat dalam kajian yang diuji dengan ubat baru sentiasa
dipantau perkembangannya. Ini tidak sama dengan setengah-setengah pihak yang
menggunakan testimoni 2-3 orang ataupun paling ramai pun 10 orang yang
menyatakan ubat atau kaedah rawatan tertentu itu menyembuhkan mereka. Walaupun
begitu, latar belakang dan bukti pengambilan ubat tersebut oleh mereka boleh
dipertikaikan kerana semua ini adalah untuk tujuan pengiklanan komersil.
Penulis fikir pengguna dapat memikirkan ubat mana yang lebih berkesan, sebagai
contoh ubat Aspirin (ubat cair darah) yang telah dibuktikan bermanfaat kepada
lebih 17 ribu orang pesakit yang mengidap serangan jantung koronari dalam satu
kajian antarabangsa, berbanding ubat yang hanya dibuktikan oleh kurang daripada
10 orang pesakit dan hanya dipersembahkan dalam bentuk testimoni. Tidak kurang
juga ada ubat yang dikatakan menggunakan ramuan tradisional tetapi sebenarnya
telah mencampurkan ubatan moden bagi menjadikan ubat mereka lebih berkesan, terutamanya
ubat tenaga batin lelaki yang mencampurkan sildenafil (Viagra) dan ubat urat
(untuk arthritis) yang menggunakan steroid.Tidak dinafikan kajian saintifik
seperti randomised controlled trial (RCT) ini memerlukan kos yang besar
untuk melaksanakannya. Tetapi dengan bantuan dana dan kepakaran, sekiranya kita
dapat buktikan secara saintifik bahawa ubatan tradisional ini berkesan,
industri ini akan mendapat pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
Sebagai pengguna pula kita harus bijak memilih ubat dan kaedah perubatan
yang selamat dan berkesan serta jangan mudah tertipu dengan dakwaan-dakwaan
yang hanya indah didengar. Sememangnya setiap penyakit ada ubatnya tetapi
pengambilan ubat yang salah bukan sahaja merugikan kita dari segi kewangan malah
boleh memudaratkan kesihatan kita. Sentiasalah dapatkan nasihat daripada
pengamal perubatan yang bertauliah dan tanamkan sifat suka mengkaji agar kita
sentiasa selamat.
- Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-
Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Suara Pelindung Pengguna edisi November 2014
Comments
Post a Comment