Sekolah satu aliran bukanlah satu
isu baru yang menjadi polemik antara kaum di negara kita. Ia bukan sekadar
menjadi isu perdebatan di kalangan golongan akademik tetapi sering dijadikan
modal oleh golongan tertentu terutamanya ahli politik untuk meraih sokongan
kaum masing-masing. Akhir-akhir ini timbul semula cadangan sekolah satu aliran
setelah idea sekolah wawasan yang dicadangkan oleh kerajaan tidak berapa lama
dahulu tidak mendapat sokongan daripada pendokong sistem akademik aliran Cina.
Mereka masih bertegas mahu mengekalkan kononnya hak dan identiti Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) mereka biarpun dengan sumber yang terhad daripada
kerajaan. Kewujudan SJKC adalah ibarat mewarisi satu sistem pendidikan yang
agak kekok sebenarnya dalam konteks masyarakat Malaysia kini.
Sebelum penulis mengulas lanjut
tentang isu ini, amat wajar penulis menyatakan dengan jelas bahawa penulis
sememangnya amat menyokong kuat cadangan sistem sekolah satu aliran kerana
inilah sistem yang akan menjadi wadah dalam memastikan anak-anak kita tanpa
mengira bangsa dapat hidup bersama-sama
dalam suasana yang harmoni. Di sinilah mereka akan mendapat pendedahan
awal tentang toleransi dalam masyarakat majmuk dan menghormati satu sama lain
demi keamanan dan kesejahteraan bersama.
Walau bagaimanapun, tidak
dinafikan isu ini timbul semula adalah kesan daripada perhimpunan Bersih 4 yang
dipelopori majoritinya kaum Cina melalui parti pembangkang yang chauvinis iaitu
DAP. Ia adalah terjemahan rasa marah orang Melayu berdasarkan tindakan
peserta-peserta Bersih 4 yang secara terang-terangan menghina dua orang
pemimpin tertinggi orang Melayu. Ini juga adalah rentetan daripada Perhimpunan
Rakyat Bersatu pada 16 September lalu yang dianjurkan sebagai respon daripada
orang-orang Melayu terhadap Bersih 4 yang amat jelas sikap chauvinisnya.
Walaupun penganjur Bersih 4 menafikan perhimpunan mereka adalah rasis dan
sebaliknya menuduh perhimpunan baju merah sebagai rasis, tetapi sebenarnya
tindakan DAP ini tidak ubah seperti cuba bermain dengan api. DAP seperti biasa menggunakan
taktik menanam kebencian terhadap Perdana
Menteri sebagai mesej utama dengan harapan mahu menjatuhkan kerajaan yang
dipilih secara demokratik melalui demonstrasi jalanan. Mesej ini berjaya juga ditelan oleh
sebilangan orang Melayu yang menyertai Bersih 4, namun secara majoritinya orang
Melayu di luar Bandar amat marah dengan situasi ini . Inilah yang disifatkan
oleh orang Melayu sebagai ‘kaduk naik junjung.’
Sentimen kebencian ini telah lama
diterapkan oleh DAP di kalangan masyarakat Cina terutamanya kepada golongan
muda. Pemimpin Melayu UMNO sering dijadikan sasaran sehingga menyebabkan mereka
berjaya mewujudkan pola pengundian sebagai satu protes pengundi Cina terhadap
calon UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke 13 lalu. Penulis
sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Kuala Kedah ketika PRU 13 turut
terkena tempiasnya. Ini telah menjadi satu fenomena nasional bahawa secara umumnya
kaum Cina secara kolektif menolak parti Barisan Nasional terutama UMNO dan
parti kaum Cina sendiri iaitu MCA dan Gerakan kerana tidak berminat lagi dengan
dasar-dasar status quo yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak
merdeka. Mereka telah termakan hasutan DAP dan gagasan Pakatan Rakyat yang
memberi jaminan untuk memberi hak-hak yang sebelum ini belum pernah mereka
nikmati. Mungkin mereka juga merasakan sudah sampai masanya kaum Cina turut
diberi hak sama rata dengan kaum Bumiputera dan hak-hak Melayu dan Bumiputera
yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dihapuskan.
Namun begitu, rakyat yang celik
sejarah pasti sedar bahawa orang Melayu telah melakukan pengorbanan yang besar dengan
merelakan perkongsian status warganegara dengan bangsa-bangsa lain melalui
penggubalan konsep jus soli dalam hal kerakyatan hasil inisiatif Suruhanjaya Reid dalam penubuhan Persekutuan
Tanah Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam dijamin oleh
perlembagaan adalah sebagai balasan dalam kontrak sosial antara kaum ketika itu
bagi membolehkan bangsa-bangsa lain menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu.
Jika dikaji sejarah, kita pasti sedar betapa sukarnya warga-warga asing untuk
bergelar ‘rakyat raja’ ketika zaman pemerintahan kerajaan Melayu dahulu.
Menurut satu kisah dalam Misa Melayu, seorang jurubahasa syarikat Belanda
bernama Pir Muhammad pernah memohon untuk menjadi rakyat Sultan Iskandar iaitu
Sultan Perak ketika itu tetapi telah ditolak oleh Baginda kerana Baginda melihatnya
sebagai ‘seorang Keling yang tidak menghormati adat istiadat Raja Melayu.’
Penulis tidak berani meletakkan
tempoh masa sehingga bila hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera ini akan
menjadi dasar negara, tetapi secara nyatanya majoriti orang Melayu masih belum
bersedia untuk melepaskannya dan sekiranya masa itu sudah sampai biarlah orang
Melayu sendiri yang membuat keputusan dan bukannya berpunca daripada ugutan atau
mainan politik daripada mana-mana kaum. Tambahan pula orang Melayu dan
Bumiputera masih ketinggalan dari segi ekonomi terutama dalam konteks pendapatan
dan pemilikan harta. Rakyat Amerika Syarikat mengambil masa lebih 250 tahun
untuk menerima seorang Presiden dari kalangan rakyat berkulit hitam dan
Malaysia baharu merdeka lebih 50 tahun. Rakyat
Malaysia yang sejati adalah rakyat yang memahami asas-asas pelembagaan ini dan
setia menjunjungnya serta sedar inilah tunjang perpaduan dan kekuatan negara. Apabila
ada pihak yang cuba mencabar dan mempertikai tiang-tiang yang membina negara ini,
mereka telah mengambil risiko dengan mengorbankan keamanan yang kita kecapi
demi kepentingan kumpulan mereka.
Oleh itu, penulis berpendapat isu
sekolah satu aliran ini adalah satu respon kepada isu-isu perkauman yang
dimainkan oleh pihak pembangkang. Sekiranya parti komponen BN tidak terikut-ikut
dengan mainan politik pembangkang dan kembali kepada kaedah perjuangan asal
mereka mereka, penulis yakin, isu ini tidak akan timbul. Mereka perlu
meyakinkan masyarakat Cina terutama
golongan muda bahawa konsep permuafakatan dalam BN sahaja yang dapat memastikan
keharmonian negara terpelihara. Natijah buruk akan menimpa kita semua jika kita
berterusan mencabar tunjang-tunjang dalam perlembagaan. Walaupun sekolah satu
aliran merupakan satu utopia yang menjadi impian semua orang Melayu tetapi
realitinya sekolah jenis kebangsaan akan terus dipertahankan oleh kaum Cina
seperti mana orang-orang Melayu mempertahankan hak-hak istimewa dan agama Islam
sebagai agama persekutuan. Terpulanglah kepada kita sama ada kita mahu mengambil
risiko untuk mengubah lanskap politik Malaysia (walaupun pengakhirannya kita
sudah sedia maklum) atau mahu terus mengekalkan status quo yang selama ini
telah terjamin membawa keharmonian dan kemakmuran kepada kita.
Comments
Post a Comment