UCAPAN ALUAN DR
ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID, PENGERUSI PERSATUAN PROFESIONAL DAN USAHAWAN NEGERI
KEDAH (PEAKS) DI MAJLIS PERASMIAN MYFEST DARULAMAN 2016 PADA SABTU 27HB
FEBRUARI 2016 DI DATARAN JUBLI EMAS, ALOR SETAR
Terima kasih tuan Pengerusi
Majlis.
YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah bin
Md Hanipah, Menteri Besar Kedah Darulaman
YB Dato’ Mohd Rawi bin Abd Hamid,
Exco Kerajaan Negeri Kedah, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan,
Warisan dan Kerja Raya
Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad
Faudzi bin Haji Awang, Pengarah Penjara Negeri Kedah
Tuan Mohamad Fitri bin Hassan,
Pengarah KPDNKK Kedah
En Rosidi bin Omar, Pengarah
Kolej Polytech MARA, Alor Setar
Wakil-wakil ketua jabatan,
Wakil-wakil ketua jabatan,
Kepimpinan UMNO Bahagian Alor
Setar dan Kuala Kedah, tuan-tuan dan puan yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullah
…………..
1. Pertama sekali, marilah kita
panjatkan rasa kesyukuran ke hadarat Allah swt, dengan limpah kurnianya dapat
kita bersama-sama pada petang yang berbahagia ini dalam majlis perasmian Myfest
Darulaman 2016.
2. Saya mengambil kesempatan ini
mengalu-alukan kehadiran YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah bin Md Hanipah, Menteri
Besar Kedah dan mengucapkan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian YAB
Dato’ Seri untuk bersama-sama dengan kita dan seterusnya merasmikan program
yang cukup bermakna ini.
YAB Dato’ Seri, tuan-tuan dan
puan-puan yang saya hormati sekalian,
3. Program Myfest Darulaman ini
adalah satu inisiatif NGO kami iaitu, Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri
Kedah atau PEAKS, bersempena Kempen Discover Kedah 2016. NGO kami yang
ditubuhkan hanya 2 tahun lepas adalah bertujuan untuk mengumpulkan golongan
profesional dan usahawan di negeri Kedah di bawah satu bumbung untuk bersama-sama
merancang aktiviti dan program yang boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat.
4. Namun begitu, usaha dan kerja
keras kami sejak 5 bulan lalu untuk merealisasikan program ini tidak akan
menjadi kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama yang cukup erat terutamanya
daripada Kerajaan Negeri Kedah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)
yang membenarkan pihak kami menggunakan Dataran Jubli Emas ini serta membantu
dengan segala macam pertolongan yang telah melicinkan lagi perlaksanaan program
ini. Tidak lupa juga kepada Exco-exco kerajaan Negeri Kedah terutama YB Dato’
Rawi yang menyokong program ini sejak dari awal perancangannya, YB Dato’ Dr
Leong melancarkan kempen derma organ pada hari khamis lepas, dan pada kelmarin,
YB Dato’ Noor Sabrina merasmikan karnival kerjaya belia dengan penyertaan lebih
2000 pencari kerja yang kebanyakannya adalah golongan belia, YB Dato’ Suraya
Yaacob merasmikan Program Mesej dari Penjara dengan kerjasama pihak Jabatan
Penjara Negeri Kedah dan YB Dato’ Aminudin Omar yang merasmikan Night Run
Myfest dengan penyertaan lebih 300peserta malam semalam.
5. Kerjasama yang baik juga kami terima dan
telah terjalin hubungan yang rapat dengan agensi-agensi dan jabatan kerajaan
seperti Jabatan Penjara Negeri Kedah, Polis DiRaja Malaysia, JobsMalaysia
Kedah, RTC, SME link, ICU, FAMA, MBAS, KPTM, Tourism Malaysia Kedah, IM4U, Jabatan
Kerja Raya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, KEDA, SADA, AADK juga Majlis Belia
Negeri Kedah serta banyak lagi agensi-agensi lain yang tidak berkesempatan
untuk saya sebutkan semuanya. Terima kasih daun keladi saya ucapkan.
6. Pada pandangan kami, dalam
zaman keusahawanan sosial kini, kebanyakan usaha-usaha masyarakat sivil akan
digerakkan oleh individu-individu,
perkumpulan dan badan-badan sukarela yang berkepentingan dalam masyarakat dalam
menjuarai sesuatu isu. Pihak kerajaan, jabatan dan agensi kerajaan akan
bertindak sebagai pemudahcara dan inisiatif utama dalam gerak kerja ini perlu
dimulakan oleh NGO dan perkumpulan yang berjiwa besar yang mahu membawa
perubahan yang positif kepada masyarakat. Inilah yang dapat saya simpulkan
apabila melihat kejayaan program ini apabila ia dicetuskan oleh kami, anak-anak
muda yang kerdil tetapi berwawasan besar, dan kami amat bersyukur apabila
hasrat kami disambut dengan tangan yang terbuka. Inilah trend yang berlaku di
kebanyakan negara maju masa kini dan bagi negeri Kedah sendiri, inilah halatuju
yang wajar kita jadikan sebagai pedoman bagi merangsang lebih banyak lagi
program-program untuk kepentingan rakyat.
YAB Dato’Seri, tuan-tuan dan
puan-puan
7. Jika sebentar tadi, YAB Dato’ Seri
telah bersama-sama lebih kurang 500 orang kanak-kanak dari sekolah pendidikan
khas sekitar Alor Setar dan orang awam bermain belon air Ohana yang dikelolakan oleh
para pelajar Kolej Polytech MARA, Alor Setar,
ia melambangkan kesatuan kita di negeri Kedah ini yang terdiri daripada
pelbagai lapisan umur dan latar belakang, bermula dari pemimpin, pentadbir,
pelajar, profesional, usahawan, ibu bapa dan masyarakat awam. Ohana adalah
perkataan yang berasal dari Bahasa Hawaii yang bermaksud KELUARGA. Jadi
bertepatanlah dengan program kita pada hari ini yang mana konsep asasnya adalah
untuk keluarga dan dianjurkan oleh kita yang merupakan satu permuafakatan Keluarga Besar Negeri Kedah Darulaman.
8. Memandangkan penganjuran Myfest Darulaman ini
adalah buat julung-julung kalinya, tidak dinafikan mungkin ada kekurangannya di
mana-mana yang tidak kami sedari. Berkenaan aktiviti hot air balloon juga terpaksa dibatalkan
kerana faktor cuaca iaitu angin kencang yang boleh membahayakan para pengunjung.
Bagi kami keselamatan adalah yang paling utama. Oleh itu, saya mewakili pihak
penganjur menyusun sepuluh jari memohon kemaafan jika ada kesalahan yang tidak
kami disengajakan dan memohon agar Dato’-Dato’, pemimpin-pemimpin, ketua-ketua
jabatan, tuan-tuan dan puan-puan terus membimbing kami dan terus menyokong
usaha-usaha kami pada masa yang akan datang demi kebaikan masyarakat negeri
Kedah. Walau bagaimanapun, suka saya umumkan di sini penganjuran Myfest Darulaman sepanjang 3 hari ini telah berjaya menarik pengunjung lebih daripada
30ribu orang.
9. Akhir sekali, sekali lagi
pihak kami menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’
Seri Menteri Besar kerana menyokong usaha kami ini dan seterusnya sudi
merasmikan Myfest Darulaman 2016. Dengan kekangan masa dan sumber yang terhad
yang ada pada kami, sokongan daripada
YAB Dato’Seri telah memberi semangat kepada kami untuk memastikan program ini
mencapai kejayaan. Ini juga membuktikan YAB Dato’Seri sangat prihatin jiwanya
dengan orang muda terutama dengan golongan profesional dan usahawan seperti
kami. Kita mendoakan kesejahteraan buat Dato’Seri agar dapat memimpin negeri
Kedah yang tercinta ini ke mercu kemajuan dan kegemilangan.
10. Pantun :
Sungguh indah Negeri Kedah
Dilihat dari Gunung Keriang
Myfest Darulaman terlaksana sudah
Comments
Post a Comment