Fenomena suplemen atau makanan tambahan bukanlah suatu
perkara baru di negara kita malah telah menjadi isu besar di beberapa buah negara
maju. Di Amerika Syarikat, agensi Food
and Drug Administration (FDA) telah meletakkan suplemen bukanlah ubat
perubatan, perisa makanan atau rempah dan harus menepati 3 kriteria berikut :
1) Produk adalah bertujuan sebagai tambahan kepada
pemakanan dan bukannya sebagai penggantian makanan
2) Produk adalah atau mengandungi vitamin, unsur
pemakanan, herba atau apa-apa yang menyumbang kepada makanan lain dalam bentuk
ekstrak, produk metabolisme, bahan pelarut atau kombinasi perkara-perkara ini
3) Produk ini dilabel sebagai diet tambahan
American College of Clinical Toxicology pula menekankan ubat
homeopati, suplemen yang bukan vitamin atau suplemen herba tidak harus
digunakan untuk tujuan rawatan penyakit atau sebagai kaedah pencegahan penyakit
tertentu. Perubatan alternatif seperti ini seringkali dilaungkan sebagai
selamat kerana menggunakan bahan semulajadi, namun ini tidak semestinya kerana
bahan-bahan ini tidak dikawal selia kualitinya dan tiada bukti saintifik untuk
meyokong keberkesanannya. Penggunaannya secara bersendiri atau bersama dengan
ubat-ubat perubatan moden bukan sahaja tidak membawa manfaat malah boleh
membawa mudarat. Dalam satu kajian oleh Regan L. Bailey pada tahun 2007-2010 dan
diterbitkan pada 2013 dalam jurnal JAMA
Internal Medicine, rakyat Amerika Syarikat mengambil suplemen adalah untuk
tujuan menambahbaik kesihatan (45%) dan untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan
(33%). Kajian yang melibatkan hampir 12 ribu orang yang berumur 20 tahun ke
atas ini juga mendapati kaum wanita paling banyak mengambil produk berasaskan
kalsium untuk kesihatan tulang (36%) dan kaum lelaki mengambil suplemen untuk
kesihatan jantung dan untuk menurunkan paras kolesterol (18%). Multivitamin
atau mineral adalah produk yang paling banyak digunakan, diikuti produk kalsium
dan minyak ikan Omega-3. Hasil dapatan kajian juga menunjukkan hanya 23%
daripada produk suplemen yang diambil adalah atas saranan pengamal perubatan
bertauliah.
Oleh itu, melihat kepada fenomena
pengambilan produk suplemen yang begitu meluas di kalangan penduduk Amerika Syarikat
maka tidak hairanlah, rakyat mereka terpaksa menanggung banyak kesan buruk
daripada penggunaan suplemen ini. Menurut Andrew Geller dalam kajiannya yang diterbitkan
pada Oktober 2015 dalam New England Journal
of Medicine (NEJM), lebih 23 ribu orang rakyat Amerika setiap tahun telah
mengalami komplikasi kesihatan kesan daripada pengambilan suplemen yang berupa
vitamin, herba dan produk kesihatan sehingga memerlukan rawatan di jabatan
kecemasan hospital. Golongan belia adalah yang paling ramai mengalami komplikasi
kardiovaskular selepas pengambilan suplemen untuk menurunkan berat badan atau
produk menambah tenaga manakala golongan warga emas banyak mengalami masalah menelan.
Dari aspek perundangan pula, Amerika Syarikat dikatakan terlalu berlembut
dengan syarikat-syarikat pengeluar suplemen. Undang-undang yang digubal melalui
Dietary Supplement Health and Education
Act 1994 juga lebih mesra kepada
syarikat suplemen daripada mesra pengguna sehingga menyaksikan jualan industri suplemen
meningkat daripada 4 billion Dollar kepada 12 billion dollar dalam tempoh 4
tahun. Apa yang merisaukan adalah apabila kepentingan syarikat lebih diutamakan
daripada kepentingan pengguna kerana undang-undang lebih melindungi pemain-pemain
industri ini.
Dalam konteks negara kita
Malaysia, kebanyakan suplemen yang berbentuk minuman atau makanan dikawal selia
oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia
di bawah Food Act 1983. Walaupun produk seperti ini tidak perlu berdaftar,
tetapi sejak akhir-akhir ini produk-produk seumpama ini semakin galak
menggunakan teknik pemasaran kononnya ia berkesan dari segi perubatan. Manakala untuk perihal ubat perubatan termasuk
suplemen kesihatan dan persediaan tradisional adalah di bawah Biro Pengawalan
Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk seperti
ini perlu didaftarkan sebelum dipasarkan di Malaysia dan pihak BPFK
bertanggungjawab membuat penilaian terlebih dahulu bagi memastikan produk ini
selamat digunakan.
Yang menjadi persoalan sekarang adalah
apabila kebanyakan produk suplemen sudah diiklankan sebagai satu bentuk rawatan
bagi penyakit tertentu sebagai salah satu usaha pemasaran bagi melariskan
produk. Hal ini sebenarnya menyalahi Akta Racun (Iklan dan Penjualan) 1956 yang
telah menyenaraikan 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan seperti diabetes,
penyakit kerosakan buah pinggang, penyakit jantung, tekanan darah tinggi,
kanser, asthma, penyakit mental, lemah tenaga
batin dan banyak lagi. Mungkin masyarakat sudah terbiasa dengan iklan-iklan
seperti ini yang disiarkan melalui radio dan televisyen serta lebih-lebih lagi
di internet dan media sosial dan tidak menyedarinya sebagai satu kesalahan.
Malah para pengusaha produk juga tidak merasa bersalah apabila membuat
tuntutan-tuntutan perubatan sebagai satu strategi pemasaran mereka. Penulis mendapati 4 kategori utama ubat yang
seringkali mendapat sambutan dan disalahguna ialah ubat kurus, ubat kuat, ubat
pemutih dan ubat penyakit kronik. Produk-produk yang menggunakan tuntutan
perubatan 4 kategori di atas sebenarnya tiada pembuktian saintifik untuk
menunjukkan ia benar-benar berkesan. Apa yang lebih merbahaya lagi, sebagai
contoh minuman seperti kopi untuk kekuatan tenaga batin lelaki sering
dicampurkan dengan dadah terlarang yang boleh membahayakan nyawa. Ada kopi juga
yang kononnya menggunakan ekstrak tongkat ali tetapi setelah dibuat ujikaji
tidak mengandungi langsung bahan daripada tumbuhan tersebut.
Ternyata isu suplemen ini bukan
sahaja menjadi satu permasalahan di negara kita tetapi juga di negara-negara
maju yang lain. Ia berlaku kesan daripada peningkatan kesedaran kesihatan di
kalangan masyarakat tetapi mahu mengambil jalan mudah dengan tidak mahu
mendapatkan rawatan melalui kaedah perubatan moden. Ini amat berbahaya
sekiranya mereka sanggup berbelanja besar untuk membeli suplemen sebagai ganti
ubat-ubat yang telah dipreskripsi oleh doktor. Kecelaruan antara konsep
suplemen dan ubat ini cukup merisaukan jika usaha mendidik masyarakat tentang hal
ini tidak diberi penekanan. Masyarakat perlu difahamkan tentang bila masanya
suplemen itu diperlukan dan suplemen jenis apakah yang sesuai. Ini semestinya
perlu dibuat dengan mengambil kira nasihat daripada pengamal perubatan yang
bertauliah. Masyarakat juga perlu menjauhkan diri daripada ubat-ubat yang tidak
berdaftar dan melaporkan kepada pihak berwajib jika ada pengusaha yang cuba
menipu dengan menjual produk yang meragukan. Media massa juga perlu memberi
kerjasama dengan menapis iklan-iklan yang memberi persepsi yang salah terhadap
konsep suplemen dan seharusnya sedia mengambil risiko untuk kehilangan
penyumbang iklan jika tindakan berprinsip diambil demi keselamatan dan
kesejahteraan rakyat.
Akhir sekali, pengusaha produk
suplemen juga perlu lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Ini
kerana masyarakat berhak mendapat produk yang selamat, berkesan, berkualiti dan
tidak disajikan dengan maklumat produk yang memesongkan persepsi. Penulis bukanlah
anti-suplemen tetapi penulis berpendapat pengguna wajar dilindungi dan wajar
diberitahu agar mereka lebih berhati-hati dalam memilih produk. Di sebalik
kebanjiran produk-produk ini akan menyukarkan aktiviti kawal selia dan
penguatkuasaan, tetapi dengan kebijaksanaan kita sebagai pengguna akan menyelamatkan
kita daripada ditipu dan menghukum pemain industri suplemen melalui kuasa
pasaran.
-Dr Zaki Zamani bin
Abd Rashid -
Comments
Post a Comment