FORUM HARI ANTI DADAH ANTARABANGSA 2021

Terima kasih diucapkan kepada AADK Negeri Kedah kerana sudi mengundang saya sebagai salah seorang panel dalam Forum FB Live sempena Peringatan Hari Anti Dadah Antarabangsa 2021 yang jatuh pada 26 Jun setiap tahun. Saya telah diminta untuk membicarakan topik ‘Pengurangan Kemudaratan’ atau Harm Reduction yang menjadi salah satu teras Dasar Dadah Negara (DDN) selain Pendidikan Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan, Penguatkuasaan dan Kerjasama Antarabangsa.

Pengurangan kemudaratan merujuk kepada polisi, program dan pendekatan yang bertujuan untuk mengurangkan kemudaratan yang berkait rapat dengan penggunaan dadah psikoaktif oleh individu yang tidak mampu atau tidak ingin berhenti menggunakannya. Contoh program pengurangan kemudaratan yang telah berjaya dilaksanakan di negara kita adalah program rawatan penggantian metadon yang sejak tahun 2006 telah melibatkan hampir 100 ribu orang klien di lebih 500 pusat seperti di klinik kesihatan kerajaan dan swasta, hospital, Puspen, penjara dan malah masjid juga. Pendekatan ini telah berjaya mengurangkan kes jangkitan baharu HIV/AIDS di kalangan pengguna dadah melalui jarum suntikan iaitu dari 66% (2005) kepada 3% (2017).

Tema Hari Anti Dadah Antarabangsa 2021 adalah ‘Kongsi Fakta, Selamatkan Nyawa’. Dalam konteks Daerah Kota Setar, setakat ini terdapat 1960 orang klien (OKP) yang berada di bawah pengawasan AADK :
-95% daripada OKP ini merupakan Melayu
-48 orang wanita
-40% merupakan belia di bawah umur 30 tahun
-66% merupakan pengguna methamphetamine
Berdasarkan fakta ini, ancaman dadah jenis ATS dan penglibatan wanita dengan dadah adalah trend yang wajar kita bimbangkan. Walaupun dalam situasi pandemik, program pendidikan pencegahan harus dilipatgandakan dan program rawatan/pemulihan harus diperhebat agar lebih ramai golongan belia kita dapat diselamatkan.







Comments