Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Daerah Kota Setar Bil 1/2024 telah diadakan pada 19 Mei 2024 dan dipengerusikan oleh YBhg Tuan Haji Hakim Ariff bin Md Noor, Pegawai Daerah Kota Setar. Turut hadir, Tuan Khairul Anwar bin Ahmad, Pengarah AADK Kedah. Mesyuarat dua kali setahun ini sangat penting kerana dihadiri oleh semua ketua jabatan kerajaan dalam daerah bagi membincangkan isu-isu dan permasalahan semasa berkaitan dadah yang berlaku dalam masyarakat.
Syukur Alhamdulilah, buat julung kalinya saya telah diberi ruang untuk membentangkan kertas pertimbangan untuk pengurusan kes wanita dan kanak-kanak yang terlibat dadah. Dalam pembentangan ini, saya mencadangkan pelan tindakan dan proses gerak kerja pelbagai jabatan dan agensi bagi menyelaras tindakan secara kolaboratif dan bersepadu dalam menangani perkara ini.
Di samping itu, saya turut mencadangkan agar diwujudkan sebuah rumah perlindungan sementara untuk wanita hamil yang terlibat dadah bagi memudahkan pemantauan, rawatan dan seterusnya untuk pencegahan pelencongan sosial.
Pengalaman saya selama 8 tahun dalam menangani isu ini sangat membantu dalam menghasilkan satu pelan tindakan yang komprehensif. Terima kasih diucapkan kepada AADK dan semua jabatan yang terlibat atas kerjasama yang sangat baik.
Comments
Post a Comment