HANYA DI KOTA SETAR

Pada 26 Jun 2024, dalam sesi lawatan bulanan ke wad psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, seorang pesakit yang sudah lebih 2 bulan berada dalam wad telah dapat ditempatkan di sebuah pusat penjagaan di Sungai Petani. Kisahnya boleh dirujuk pada posting saya sebelum ini :


Saya dimaklumkan kos penempatan bulanan beliau di situ adalah RM1 ribu dan ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Kejayaan menguruskan pesakit ini sehingga mendapat penjagaan yang lebih sempurna adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi dan pemimpin komuniti. Bermula pada bulan Februari 2024, kes beliau dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Mental Daerah Kota Setar. Kemudian pada 2 April 2024, saya bersama Pasukan Komuniti Psikiatri melawat beliau dan berbincang dengan Pengerusi KRT Taman Abadi dan ahli keluarga terdekat untuk memasukkan beliau ke wad psikiatri dengan bantuan pihak Polis.

Selepas Aidilfitri, beliau telah menerima rawatan di wad psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah dan keadaannya telah distabilkan. Isu penjagaannya selepas discaj menjadi perbincangan setelah didapati tiada ahli keluarga yang mampu menjaganya sepenuh masa memandangkan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Ini kerana menjaganya adalah seperti memelihara seorang kanak-kanak yang berumur 6 tahun disebabkan kurang upaya intelektualnya. Akhirnya, telah diputuskan untuk beliau ditempatkan di sebuah pusat penjagaan swasta demi memelihara kebajikan dan kesihatannya.

Ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah berkerjasama dengan baik, bermula dengan pemimpin komuniti, pihak PDRM, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Psikiatri sehingga Lembaga Zakat yang telah memastikan pemuda ini mendapat pembelaan sewajarnya atas dasar kemanusiaan.

Kami bekalkan dia dengan sepaket coklat untuk dimakan sepanjang perjalanan, sambil mengucapkan selamat jalan.




Comments