PROGRAM PENINTEGRASIAN KANAK-KANAK KOMUNITI LANGGAR

Program Pengintegrasian Kanak-kanak Dalam Komuniti Mukim Langgar/Limbong telah dirasmikan oleh Puan Norsuyani binti Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah. Program yang diadakan di Masjid Nurul Iman, Kampung Padang Petani ini turut dihadiri oleh Pegawai JKM Daerah, Penghulu Mukim, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah dan Tuan Imam Masjid sendiri.

Program ini berjaya mengumpulkan 33 orang kanak-kanak yang tercicir daripada arus akademik dari komuniti ini untuk hadir bagi mendengar pengisian tentang peluang menyambung pengajian dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional. Taklimat dan demontrasi amali telah disampaikan oleh pihak Giat MARA dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Ini merupakan inisiatif terbaik Pasukan Kebajikan Kanak-kanak, Unit Kanak-kanak JKM dan pemimpin komuniti bagi mencegah pelibatan kanak-kanak dengan gejala sosial. Insya Allah, selepas ini program sebegini akan terus dianjurkan di komuniti lain pula dalam Daerah Kota Setar.










Comments