BH 4 November 2024 : Kedah wajar pertimbang tawaran DSAT

Kedah wajar pertimbang tawaran DSAT

ALOR SETAR: Ketua Pegawai Eksekutif Mahsuri Medical Centre (MMC), Dr Zaki Zamani Abd Rashid berharap permohonan DSAT Group Sdn Bhd untuk mengambil alih kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC mendapat pertimbangan sewajarnya.

Dr Zaki berkata, KDA wajar memberi peluang terhadap tawaran pembelian oleh DSAT untuk menangani penyelesaian masalah jangka pendek dan panjang demi menyelamatkan kelab berkenaan.

"Demi masa depan kelab dan industri bola sepak di Kedah, KDA perlu memikirkan penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan kedudukan kewangan kelab ketika ini dan peluang yang kami tawarkan ini perlu diberi ruang sebaik-baiknya agar dapat dipertimbangkan untuk kelulusan.

"Saya yakin dengan niat ikhlas Pengerusi Eksekutif DSAT Group Sdn Bhd, Datuk Seri Azizul Tandek yang bersungguh-sungguh mahu melihat masa depan bola sepak Kedah tidak terjejas.

"Ia sekali gus membuka lembaran baharu yang mampu memberi impak bukan sahaja kepada kelab tetapi akar umbi pembangunan bola sepak itu sendiri buat rakyat Kedah umumnya.

"Bermodelkan perniagaan yang sedang kami rancang dan usahakan, ia mampu memberi nafas baharu dan manfaat buat semua yang terbabit dalam industri bola sepak Kedah pada masa akan datang," katanya.




Comments