KISAH KANAK-KANAK OKU MENGEMIS

Pada 19 November 2024 juga saya bersama Pasukan Pelindungan Kanak-kanak dan Unit Kanak-kanak JKM telah mengadakan lawatan seliaan d wad kanak-kanak. Terdapat tiga kes yang dibincangkan bersama waris masing-masing bagi mencapai persetujuan bersama bagi merangka pelan mereka selepas discaj. Dua kes merupakan mangsa jenayah seksual, seorang berumur 15 tahun dan seorang lagi berumur 14 tahun. Kedua-duanya kami santuni sambil memberi sokongan moral kepada ibu bapa mereka. Kami dimaklumkan kedua-dua pemangsa mereka telah pun direman oleh pihak Polis. Boleh dikatakan semua ini berpunca daripada pengaruh media sosial. Kanak-kanak ini diberi akses kepada gajet tanpa kawalan.

Satu lagi kes adalah kes eksploitasi kanak-kanak OKU cerebral palsy berumur 13 tahun. Kanak-kanak ini telah diselamatkan oleh Pelindung Kanak-kanak JKM setelah ditemukan mengemis bersama ibu saudaranya di hadapan sebuah bank di Alor Setar baru-baru ini, selepas beberapa kali diberi nasihat dan amaran oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar.

Ibu kandungnya tinggal di Kelantan dan telah menyerahkan hak penjagaan kepada ibu saudaranya itu. Walaupun kanak-kanak ini telah menerima bantuan bulanan JKM RM500 sebulan, tetapi menurut ibu saudaranya ini masih tidak mencukupi kerana dia berhutang dengan Ah Long. Dia memerlukan sekurang-kurangnya RM50 sehari untuk menyelesaikan hutangnya. Suaminya bekerja sebagai pemandu lori.

Kanak-kanak ini diselamatkan oleh Pelindung Kanak-kanak di bawah Seksyen 17 (1)(k)(i) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu seseorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan pelindungan jika kanak-kanak itu dibenarkan berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud mengemis atau menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk jualan.

Atas dasar kemanusiaan, kami memberi amaran terakhir kepada ibu saudaranya, kerana dia boleh didakwa di bawah Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjarakan untuk tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. Saya memuji tindakan ibu saudara itu yang sanggup menjaga anak syurga ini yang menjanjikan ganjaran pahala yang besar, tetapi tindakan mengemis itu sebaliknya amat merugikan kembali segala amal baik tersebut.

Setiap hari ada sahaja kanak-kanak kita dianiaya dan dijadikan mangsa. Tidak dinafikan ramai antara kita akan berasa belas kasihan dan tersentuh jiwa untuk menderma, tetapi duit yang kita dermakan, seperti dalam kes ini, sebenarnya akan sampai kepada Ah Long akhirnya. Masyarakat perlu sentiasa peka dan prihatin tentang isu-isu kanak-kanak yang sedang berlaku dalam komuniti.







Comments