KISAH REMAJA BERSALIN KEMBAR TERLIBAT DADAH

Pada 19 November 2024, saya telah seharian berada di Hospital Sultanah Bahiyah. Tujuannya bukanlah untuk merawat pesakit tetapi untuk melawat sambil membincangkan dan menyelesaikan masalah sosial yang melibatkan kanak-kanak. Ini adalah bagi melaksanakan tanggungjawab saya sebagai Pengerusi Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Daerah.

Mulanya, saya bersama Pasukan Pelindung Kanak-kanak dan Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM Daerah Kota Setar telah mengadakan sesi persidangan kes di wad obstetrik melibatkan seorang wanita berumur 18 tahun yang terlibat dadah. Dia baru melahirkan bayi kembar lelaki dua minggu lepas. Akibat pengambilan dadah, dia mengalami komplikasi jantung selepas bersalin dan perlu dipantau dalam wad sehingga selesai tempoh berpantang. Dia berasal dari Johor, tinggal sebatang kara di Kuala Kedah dan telah bersekedudukan dengan teman lelaki (yang juga terlibat dadah) sehingga melahirkan anak.

Alhamdulilah, ada pasangan suami isteri yang sanggup mengambil kedua-dua bayinya sebagai anak angkat dan akan menjaga dia sehingga dia dapat berdikari. Kami meletakkan syarat utama bahawa dia perlu dirawat pulih penagihannya terlebih dahulu jika mahu membina kehidupan baharu yang lebih positif. Kami bersetuju untuk memberi peluang kepadanya untuk dirawat di komuniti oleh Pakar Psikiatri Ketagihan sebelum dirujuk untuk rawatan di institusi AADK, jika perlu.



Comments