Tahun 2024 merupakan satu tahun yang agak sibuk bagi saya. Tahun ini adalah permulaan bagi saya menerima beberapa tanggungjawab baharu. Antaranya saya telah dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pelawat Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah dan diberi amanah sebagai Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-kanak Daerah Kota Setar. Di samping itu, pada tahun 2024 saya meneruskan tahun akhir penggal ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Kota Setar dan Negeri Kedah. Alhamdulilah tahun ini, JKPD Daerah Kota Setar telah dipilih sebagai JKPD terbaik Negeri Kedah dan saya pula dipilih sebagai Ikon JKPD Kedah. Ini mungkin berpunca daripada penglibatan saya dalam RUU pindaan Akta Penagih Dadah 1998 di Dewan Rakyat dan kemunculan saya di Malaysia Hari Ini (MHI) dan Kedah FM yang mana saya mengutarakan isu merawat penagih dadah sebagai pesakit.
Jawatan-jawatan yang saya pegang dalam organisasi yang berasaskan komuniti (CBO) ini sebenarnya memudahkan lagi gerak kerja saya dalam menangani isu dan permasalahan masyarakat yang berkaitan penyalahgunaan dadah, penyakit mental dan perlindungan kanak. Tahun 2024 telah saya mulakan satu gerak kerja baharu dalam pengurusan kes wanita dan kanak-kanak yang terlibat dadah melalui pembentangan satu pelan tindakan bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan dalan Kota Setar bagi menangani isu ini. Walaupun pelan dan gerak kerja ini masih belum sempurna, tetapi pastinya ia adalah satu cetusan buah fikiran dan inisiatif yang sangat signifikan dalam membendung senario buruk ini daripada terus berleluasa tanpa tindakan yang sekata.
Tahun 2024 juga adalah bermakna genapnya 11 tahun saya berkhidmat di Mahsuri Medical Centre (MMC). Tanpa disangka, dengan pengambil alihan MMC oleh DSAT Group telah berlaku rombakan struktur MMC yang menyaksikan saya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu. Ini merupakan satu cabaran yang besar buat saya apabila ini merupakan pengalaman pertama saya terlibat dalam bidang pengurusan korporat kerana sebelum ini saya hanya membuat kerja-kerja klinikal saja. Semoga dipermudahkan urusan saya dalam membuat pengubahsuaian baharu dan menjenamakan semula MMC demi menjadi sebuah pusat perubatan yang terkemuka.
Pastinya tahun 2025 akan menjadi satu tahun yang padat buat saya. Saya berdoa agar diberi kekuatan untuk berjaya dalam bidang korporat dan kesabaran untuk berbakti kepada masyarakat melalui CBO yang saya pimpini.
Comments
Post a Comment