LAWATAN HOSPITAL THANYARAK SONGKHLA

Pada 24 September 2024, satu Lawatan Penanda Aras telah diadakan di Hospital Thanyarak Songkhla, Thailand. Lawatan ini adalah anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah Negeri Kedah dan dihadiri bersama AADK Kedah dan Unit Psikiatri Ketagihan, Hospital Sultanah Bahiyah. Kehadiran kami disambut oleh Dr Kanok Uttawichai, Pengarah Hospital Thanyarak Songkhla dan kami dibawa melawat fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan di hospital yang merupakan sebuah pusat rawatan pemulihan dadah di bawah pentadbiran Kementerian Kesihatan Thailand.

Berdasarkan statistik, kami dimaklumkan hospital ini mencatatkan jumlah kes rawatan pesakit tertinggi untuk kes penagihan pil kuda (amphetamine) diikuti cakoroi (4x100) dan methamphetamine. Kami juga berkongsi pengalaman berkenaan kaedah rawatan pemulihan yang dilaksanakan di Malaysia.

Saya diberi peluang untuk berucap bagi pihak rombongan dari Kedah. Antara intipati ucapan saya menyentuh beberapa perkara tentang :
1. Perkongsian ilmu dan kepakaran di antara Kedah dan Songkhla melalui penganjuran seminar dan bengkel
2. Program latihan untuk petugas kesihatan (doktor, jururawat, kaunselor dan pekerja sosial) yang dianjurkan secara timbal balik untuk kebaikan bersama
3. Sokongan kerjasama pemulihan rentas sempadan untuk klien yang memerlukan rawatan pemulihan di negara seberang
4. Kolaborasi inisiatif bersama bagi program pemulihan dalam komuniti demi membantu keluarga dan masyarakat agar lebih giat melaksanakan peranan dalam aktiviti pencegahan dan pemulihan dadah
5. Pelan program intervensi berfokus untuk belia bagi memupuk pencegahan dan kesedaran tentang bahaya dadah di kalangan orang muda

Semoga lawatan ini akan mengeratkan kerjasama dalam usaha pencegahan dan pemulihan dadah antara Kedah dan Songkhla. Turut hadir bersama Tuan Khairul Anwar bin Ahmad, Pengarah AADK Negeri Kedah dan Dr Muhammad Arif bin Muhamad Rasat, Ketua Unit Psikiatri Ketagihan, Hospital Sultanah Bahiyah.

































































Comments