LAWATAN MRT KE PENJARA POKOK SENA

Pada 28 September 2025, saya bersama pasukan Mobile Recovery Treatment (MRT) AADK Kedah telah melawat Penjara Pokok Sena bagi bertemu dan memberi pengisian rawatan pemulihan kepada 40 orang banduan yang telah disabitkan hukuman penjara atas jenayah berkaitan dadah. Kebanyakan mereka telah dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952, iaitu penjara sekurang-kurangnya 5 tahun dan maksimum 7 tahun dan sebatan tidak melebihi 3 kali.

Seksyen 39C ADB adalah satu seksyen yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan memberikan diri sendiri dadah yang berulang. Sekiranya seseorang penagih dadah pernah dituduh dan dijatuhi hukuman menggunakan dadah dibawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) sebanyak dua kali sebelum ini, bagi kesalahan buat kali ketiga, penagih dadah tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 39C ADB.

Kali terakhir saya melawat Penjara Pokok Sena adalah lebih 15 tahun lalu, iaitu ketika saya bertugas sebagai pegawai perubatan yang memeriksa banduan selepas mereka menerima hukuman sebatan.



Comments