“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang wanita, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”(Surah An-Nisa : 34)
Pada 14 Oktober 2025, saya bersama Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar dan Pasukan Pelindungan Kanak-kanak telah mengadakan persidangan kes bertempat di Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sultanah Bahiyah berkenaan kes pengabaian tiga beradik yang berumur 8, 13 dan 16 tahun yang tidak bersekolah. Kanak-kanak yang berumur 13 tahun tersebut juga gagal didaftar untuk mempunyai sijil kelahiran. Adik bongsu mereka yang berumur 8 tahun pula tidak pernah bersekolah langsung, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah kerana didapati demam panas selepas diselamatkan oleh Pelindung Kanak-kanak minggu lalu.
Persidangan ini juga dihadiri oleh ibu mereka yang sebenarnya telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak sekian lama. Suaminya baru dibebaskan dari penjara dan masih tinggal berdekatan. Ibu ini tiada sumber pendapatan dan tidak mampu menyara keluarganya. Kami bersimpati melihat keadaan beliau yang kelihatan seolah-olah hilang arah tujuan dan tiada tempat untuk bergantung harap, mungkin disebabkan kesan trauma mental dan fizikal yang dialami.
Kami memutuskan untuk membantu ibu ini secara berperingkat bagi membolehkan dia berdikari semula. Pertamanya dia perlu memulakan tuntutan fasakh, kemudian mencari pekerjaan dan berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa dan jauh dari ancaman suaminya. Selepas itu, anak-anaknya perlu diusahakan untuk mendapat sijil kelahiran dan didaftarkan untuk persekolahan. Di samping itu, kesan trauma mentalnya perlu dirawat dan dia perlu diberi motivasi untuk memulakan kehidupan baharu. Beliau telah dirujuk kepada Pegawai Psikologi JKM untuk penilaian awal kesihatan mentalnya.
Sama-sama kita doakan semoga ibu dan anak-anak ini sentiasa dipelihara dan diberikan kekuatan untuk sinar kehidupan yang baharu. Terima kasih kepada jiran-jiran yang mengambil berat dan melaporkan kes ini kepada pihak JKM untuk dibantu dan diambil tindakan segera.
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi pekertinya, dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada isterinya.” HR: At-Thirmidzi no 1162 dari hadis Abu Hurairah dan dishahihkan oleh Syeikh Al-Albani
Comments
Post a Comment