Saya telah mengadakan satu lawatan bersama AJK Masjid dan Rukun Tetangga untuk menziarahi seorang pesakit mental yang tinggal seorang diri di rumah pusaka peninggalan arwah bapanya di Jalan Kuala Kedah. Adik-beradiknya semua sudah berpindah keluar dan tinggal bersama keluarga masing-masing di luar kawasan.
Pesakit ini merupakan seorang wanita bujang berumur 36 tahun. Beliau pernah mengikuti pengajian di Mesir selama 3 tahun tetapi tidak dapat menamatkan pengajiannya. Kali terakhir beliau hadir menerima rawatan di klinik psikiatri adalah pada hujung tahun lalu. Saya menerima aduan bahawa beliau sering merayau setiap malam dan mengganggu jiran-jiran dalam taman perumahannnya sehingga awal pagi. Kad pengenalan dan kad banknya juga telah hilang menyebabkan beliau tidak lagi mempunyai sumber kewangan yang sebelum ini diterima daripada lembaga zakat setiap bulan.
Saya masih cuba menghubungi ahli keluarganya kerana memerlukan bantuan mereka untuk memujuknya agar bersetuju untuk kembali mendapatkan rawatan di hospital. Kes ini akan saya bawa untuk dibincangkan jalan penyelesaiannya dalam mesyuarat kesihatan mental daerah dan mesyuarat Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah minggu hadapan. Terima kasih diucapkan kepada pemimpin komuniti yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan pesakit mental.



Comments
Post a Comment