Pada 28 Oktober 2025, satu sejarah telah tercipta apabila tertubuhnya Konsortium Hospital Islam Malaysia (KHIM). Bertempat di Hotel Zenith Kuantan, mesyuarat penubuhan KHIM telah dipengerusikan oleh YBhg Prof Dato' Dr Muhammad Saufi bin Awang, Pengarah Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Jawatankuasa Penaja KHIM ini dianggotai oleh pusat-pusat perubatan swasta dan hospital-hospital universiti dari seluruh Malaysia antaranya Pusat Perubatan University Malaya (PPUM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Pakar An-Nur, Hospital Al-Islam dan Hospital Pusrawi. Saya mewakili Mahsuri Medical Centre turut terpilih menjadi Ahli Jawatankuasa Penaja KHIM. Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada kami.
KHIM akan beperanan menjalinkan hubungan kerjasama di antara hospital-hospital dengan tujuan untuk mengukuhkan rangkaian dalam sektor penjagaan kesihatan, meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan kualiti dan hasil perkhidmatan, bertukar maklumat perubatan, pentadbiran dan teknikal serta memperbaiki perkhidmatan kesihatan dari perspektif Islam.
KHIM juga akan membangunkan instrumen penilaian hospital Islam dengan kerjasama dan pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk ke arah pengwujudan hospital mesra ibadah dan hospital patuh shariah yang akan menjadi satu standard yang boleh diperakukan di seluruh negara dan dunia Islam.



Comments
Post a Comment