PUSAT AKTIVITI KANAK-KANAK DAERAH KOTA SETAR BAHARU

Insya Allah, lokasi Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) Daerah Kota Setar akan berpindah ke Kuala Kedah pada tahun 2026.

Pada petang 14 Oktober 2025, saya bersama Ketua Unit Pembangunan Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pegawai MARA Daerah Kota Setar. Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk berbincang dengan pihak MARA bagi menyewa ruang di Arked MARA Kuala Kedah untuk dijadikan sebagai PAKK Daerah Kota Setar. Kami mendapat maklum balas yang positif daripada pihak MARA dan hasrat kami ini akan disusuli dengan kertas kerja dan permohonan secara rasmi.

Selepas itu, kami terus bergerak ke Arked MARA tersebut dengan diiringi oleh pegawai MARA untuk meninjau sendiri kesesuaian ruang yang bakal disewa. Lokasinya amat strategik iaitu berhadapan dengan Terminal Jeti Kuala Kedah dan merupakan satu tempat tumpuan kerana berada di tengah-tengah Pekan Kuala Kedah.

Tambahan pula, Kuala Kedah sebagai sebuah kawasan berisiko tinggi untuk gejala sosial dan golongan rentan, amat memerlukan sebuah PAKK bagi dijalankan aktiviti dan program sokongan yang bertujuan melindungi dan mengembangkan potensi kanak-kanak. PAKK akan berfungsi sebagai satu ruang selamat untuk aktiviti rekreasi, advokasi, pembelajaran, dan intervensi krisis demi mencegah penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak.

Pelajar-pelajar tempatan dari sekolah-sekolah rendah dan menengah dalam kawasan sekitar bakal dilibatkan dalam program-program di sini dengan pengisian daripada pelbagai agensi dan NGO dari semasa ke semasa. Pengwujudan PAKK ini adalah satu inisiatif kerajaan melalui JKM bagi menangani isu kanak-kanak dan masalah pelencongan sosial pelajar.













Comments