Tahun 2025 bakal melabuhkan tirainya. Tahun 2025 ini merupakan tahun yang menyedihkan bagi saya. Pada 13 Jun saya telah kehilangan kakak yang disayangi akibat komplikasi usus. Aidilfitri tahun hadapan pasti akan berbeza apabila ketiadaannya akan lebih dirindui oleh kami sekeluarga. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh.
Tahun 2025 menyaksikan saya menerima lanjutan penggal baharu daripada AADK iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) untuk Daerah Kota Setar dan Negeri Kedah. Sehubungan itu, pelbagai program bersama klien telah diatur sepanjang program antaranya program orientasi klien baharu, program outreach, sumbangan barangan dapur, program sahabat kepulihan, kem motivasi dan program memancing. Kemuncaknya adalah lawatan penanda aras ke Pattani dan Songkha untuk meninjau pusat rawatan pemulihan di sana.
Untuk penglibatan saya dengan Unit Kanak-kanak JKM, peranan sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-kanak diteruskan untuk lantikan baharu sehingga 2027. Sebagai Pengerusi Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Daerah Kota Setar, banyak lawatan dan persidangan kes dijalankan bagi mencapai keputusan yang terbaik buat kanak-kanak yang terlibat. Tahun 2026 juga akan bermulanya operasi Pusat Aktiviti Kanak-kanak Daerah Kota Setar yang baharu iaitu di Arked MARA Kuala Kedah. Perubahan lokasi adalah memastikan pusat aktiviti ini lebih bermanfaat kepada lebih ramai kanak-kanak setempat terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
Peranan sebagai Pengerusi Lembaga Pelawat Psikiati Hospital Sultanah telah berjaya membawa pelbagai kejayaan melalui kerjasama pelbagai pihak di komuniti dan agensi seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah dalam memastikan kebajikan pesakit mental sentiasa dipelihara.
Dari segi tugasan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mahsuri Medical Centre, pelbagai perubahan telah saya cuba bawa. Bukan sahaja dari segi penjenamaan semula tetapi juga dari aspek pengurusan, pemasaran, penganjuran program CSR dengan komuniti, budaya kerja dan kebajikan staf telah saya terapkan. Untuk melihat kejayaannya mungkin memerlukan masa tetapi sekurang-kurangnya saya telah berusaha sehabis baik dalam situasi yang mencabar dengan keupayaan kewangan yang terhad. Apa yang pasti tempoh setahun sebagai CEO ini telah banyak mengajar saya tentang dunia korporat dan kepimpinan. Satu pengalaman yang sangat berharga.
Semoga tahun 2026 akan menjanjikan lebih banyak kejayaan dan rezeki demi khidmat bakti kepada masyarakat selagi nyawa dikandung badan. Semoga kita semua akan dapat meningkatkan ibadah dan sentiasa diberkati-Nya.





























































Comments
Post a Comment