Pengusaha Produk ‘Overclaim’ Disifatkan Tidak Beretika, Pengguna Digesa Lebih Berwaspada - Sumberkini 20 Disember 2025
Pengusaha Produk ‘Overclaim’ Disifatkan Tidak Beretika, Pengguna Digesa Lebih Berwaspada
KUALA LUMPUR – Permintaan tinggi terhadap pelbagai produk kesihatan di pasaran seperti kosmetik, ubat kuat, produk pelangsingan badan, jamu, kopi dan jus kesihatan telah membuka ruang kepada kewujudan produk tidak berdaftar, tiruan serta tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang semakin berleluasa, sama ada dijual di premis fizikal mahupun secara dalam talian.
Kebelakangan ini, terdapat pengeluar dan pengusaha yang didakwa tidak bertanggungjawab mempromosikan produk mereka secara bebas melalui iklan palsu, testimoni mengelirukan serta tuntutan berlebihan atau ‘overclaim’, kononnya produk tersebut terbukti berkesan, selamat, sah, diyakini dan bebas daripada bahan kimia berbahaya.
Menurut wakil MyChampion KKM, Azlin Othman, golongan yang sakit dan individu berkeperluan khusus sering menjadi mangsa kerana mudah terpedaya dengan dakwaan melampau yang disebarkan melalui media sosial, media cetak dan elektronik. Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak membeli produk yang membuat tuntutan berlebihan, sebaliknya hanya mengambil produk yang disarankan oleh pegamal perubatan dan profesional kesihatan bertauliah yang beretika.
Bagi membendung masalah ini, orang ramai digalakkan membuat aduan melalui saluran aduan awam serta menyemak status pendaftaran dan kesahihan produk melalui portal Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) di www.npra.gov.my, aplikasi FarmaChecker atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400 dan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722.
Sementara itu, Timbalan Presiden II Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Dr Zaki Zamani Abd. Rashid menegaskan bahawa usahawan perlu lebih bertanggungjawab dalam memasarkan produk, khususnya di media sosial. Menurut beliau, setiap produk kesihatan wajib berdaftar dengan KKM bagi memastikan keselamatan pengguna dan tidak mengandungi bahan berbahaya atau racun terkawal.
Beliau turut menekankan bahawa keberkesanan sesuatu produk dalam merawat penyakit perlu dibuktikan melalui kajian saintifik dan ujian klinikal, bukannya bersandarkan testimoni semata-mata yang dianggap lemah serta dipengaruhi kesan placebo. Dr Zaki juga menggesa KKM agar memperketatkan pemantauan dan penguatkuasaan kerana trend pemasaran tidak beretika ini berpotensi mengancam nyawa apabila pesakit meninggalkan rawatan perubatan yang sah.
Pandangan sama turut disuarakan oleh Ahli Farmasi Komuniti, Aziah Ali yang mengumpamakan produk ‘overclaim’ sebagai produk tanpa label, dengan kandungan dan keberkesanan yang tidak diketahui. Beliau menyifatkan penguatkuasaan yang lebih ketat amat diperlukan bagi mengekang penjualan produk sebegini yang boleh mengelirukan pengguna.
Beliau merujuk kepada kes dakwaan pempengaruh yang mempromosikan jus minuman kononnya berkesan untuk penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung sebagai contoh promosi melampau yang bercanggah dengan etika, moral dan undang-undang.
Tegas beliau, usaha membanteras pengusaha dan produk tidak beretika bukan bertujuan menafikan rezeki sesiapa, sebaliknya bagi melindungi pengguna dan orang ramai daripada penipuan yang boleh membawa implikasi kewangan serta risiko kesihatan, malah berpotensi meragut nyawa.


Comments
Post a Comment