Ketum dan ganja hanya ada sedikit manfaat, mudaratnya lebih besar - Utusan TV 1 Februari 2026

KETUM dan ganja hanya mempunyai sedikit sahaja manfaat dari perubatan, sedangkan mudaratnya lebih besar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid.

Menurut Dr Zaki Zamani, ketum dan ganja adalah dadah yang mana berdasarkan definisi dadah dalam Dasar Dadah Negara, kedua-duanya memenuhi kriteria iaitu bahan-bahan yang dihasilkan daripada tanaman yang boleh menyebabkan perubahan mood, persepsi dan tingkah laku dan mempunyai kesan psikoaktif.

Jelas beliau, ia boleh menyebabkan ketagihan iaitu menyebabkan kebergantungan secara fizikal dan psikologikal, manakala pemberhentian dan pengurangan penggunaannya akan menyebabkan gejala penarikan (reaksi biologi dan psikologi) dan gejala pengunduran (reaksi psikososial).
“Akibat penagihan ketum dan ganja, ia boleh mengganggu fungsi sosial seseorang. Seseorang itu akan gagal melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada keluarga dan peranannya sebagai pekerja dalam sesebuah organisasi.
“Inilah yang menjadi punca keruntuhan institusi keluarga dalam masyarakat dan memusnahkan masa hadapan dalam apa saja kerjaya. Ini juga menjadi punca berlaku pelbagai isu-isu pelencongan sosial dalam masyarakat seperti jenayah, keganasan rumah tangga, pengabaian kanak-kanak, kelahiran anak tak sah taraf dan kebejatan akhlak,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Zaki Zamani berkata, kesan kepada kesihatan mental sangat besar terutamanya bagi ganja.
Katanya, hal itu dapat dilihat menerusi kes-kes pesakit berpunca daripada pengambilan ganja yang mengalami gangguan mental jangka masa pendek dan panjang sehingga memerlukan rawatan sama ada sebagai pesakit luar atau dimasukkan untuk rawatan dalaman wad psikiatri.
Bagi ketum pula, kata beliau, setakat ini belum ada usaha pengumpulan data secara khusus yang boleh memberi gambaran sejauh mana serius penagihan ketum yang dirawat di hospital dalam negara.
“Tetapi dari segi kajian sosial di utara Semenanjung, mendapati kesannya amat serius terutamanya dalam konteks keciciran dan masalah pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah.

“Dunia perubatan masih belum mengesahkan ketum mempunyai manfaat perubatan melalui pembuktian secara kajian klinikal. Jika benar ada manfaat yang boleh menyelamatkan nyawa, biarlah pakar perubatan yang profesional yang menggunakannya melalui preskripsi dan untuk indikasi yang tepat,” katanya.

Dr Zaki Zamani menambah, kerajaan melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melakukan reformasi melalui pindaan APD 1993 pada 2024 apabila menjadikan akses kepada rawatan pemulihan terutamanya secara sukarela dengan lebih mudah.
Katanya, penagih dan penyalahguna dadah dan bahan seperti ketum dan ganja akan dirawat pulih melalui rawatan dalam komuniti atau institusi berdasarkan Seksyen 6 Akta ini.
Jelas beliau, ia sesuai dengan pendekatan menyah jenayah dan konsep penagih sebagai pesakit yang diambil oleh kerajaan, selagi mereka tidak terlibat dengan jenayah.




Comments