PERGINYA SEORANG TOKOH NGO KEDAH

Pada 19 April 2026, Negeri Kedah telah kehilangan seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO) yang sangat aktif. En Seelan yang berumur 85 tahun, telah meninggal dunia di Sabah ketika menghadiri program salah satu NGO yang diterajuinya.

Saya mengenali En Seelan sejak tahun 2005 lagi ketika saya mula-mula terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Diabetes Malaysia (DM) Cawangan Negeri Kedah dan mendiang merupakan Setiausaha persatuan. Apabila saya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan DM Negeri Kedah selama 3 penggal, persahabatan kami semakin rapat apabila sentiasa bekerjasama menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit diabetes. Kali terakhir saya bertemu beliau adalah pada 6 Disember 2025 lalu ketika kami sama-sama menghadiri Program Sambutan Hari Diabetes Sedunia Daerah Kota Setar.

Mendiang juga aktif dalam NGO lain seperti Persatuan Pemulihan Kusta Malaysia, Majlis Kebajikan Negeri Kedah, Majlis Jaksa Pendamai, PEMADAM dan banyak lagi. Beliau adalah seorang tokoh yang sangat berdedikasi dan banyak berkorban demi perjuangan murni dalam NGO yang disertainya. Banyak ilmu yang telah saya pelajari daripada mendiang sepanjang mengenalinya sebagai seorang pemimpin NGO yang sangat berpengalaman. Memori saya bersama beliau akan sentiasa menjadi kenangan. Beliau adalah contoh seorang aktivis yang komited mengabdikan dirinya untuk gerak kerja masyarakat madani sehingga ke akhir hayatnya.

Saya berkesempatan menziarahi mendiang dan memberi penghormatan terakhir di rumahnya kelmarin. Salam takziah diucapkan kepada isteri dan ahli keluarga mendiang dan sesungguhnya kesedihan kehilangannya turut dikongsi oleh semua aktivis NGO yang mengenali beliau.






Comments