Terima kasih sahabat semua atas ucapan dan doa yang disampaikan kepada saya sempena hari lahir saya pada 24 Mei lalu. Saya tidak mampu membalasnya satu persatu kerana terlalu banyak yang saya terima dalam pelbagai platform media sosial. Semoga anda semua juga dikurniakan kesihatan dan kerahmatan oleh Allah swt.
Saya amat bersyukur kerana Allah telah mencukupkan pelbagai rezeki kepada saya dan keluarga dalam umur sebegini. Tiada apa lagi yang boleh saya inginkan melainkan agar terus diberi kesempatan untuk berkhidmat dan berjasa kerana itulah tujuan-Nya apabila diberi segala kurniaan. Memang benarlah perjalanan hidup itu adalah satu perjuangan, setiap kejayaan dan kegagalan itu hanyalah sementara. Tetapi ilmu yang dikutip sepanjang perjalanan akan menjadikan kita lebih bersedia untuk perjalanan yang seterusnya.
Pada usia hampir separuh abad ini saya menyangka saya sudah melalui segala-galanya. Tetapi ia sangat meleset, setiap hari, setiap tahun, kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Saya sudah dilanda ombak dalam pelbagai bidang kehidupan yang saya ceburi sama ada akademik, NGO, politik, kerjaya, korporat dan kemasyarakatan tetapi setiap kali ujian yang datang ia tetap tidak serupa malah menuntut daya tahan dan daya juang yang tinggi. Tetapi ia pasti akan memberi pengalaman yang berbeza. Pengalamannya adalah seperti penglihatan watak Neo dalam babak akhir filem Matrix yang memberi persepsi baharu dunia (worldview atau dalam Bahasa Jerman disebut weltanschauung) setiap kali isu atau masalah dapat ditangani atau diatasi.
Yang pentingnya, prinsip hidup perlu konsisten dan selari dengan matlamat hidup. Jika ia tidak selari bermakna kita telah mengkhianati jati diri kita sendiri. Cemuhan dan pujian adalah lumrah dunia. Kita tidak akan terlalu kecewa atau terlalu bangga jika kita sentiasa sedar bahawa hati manusia yang sering berbolak-balik adalah satu fitrah semula jadi. Selagi prinsip yang dipegang sentiasa berada di landasan yang lurus, kita pasti akan berjaya menuju matlamat hidup penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs). Prinsip hidup saya setelah saya sedari adalah seperti dalam lirik lagu 'Welcome to the Black Parade' nyanyian kumpulan My Chemical Romance iaitu untuk menjadi "savior of the broken, the beaten and the damned". Bukankah itu adalah tanggungjawab kita semua untuk membela dan memperjuangkan nasib orang yang tidak mampu atau tidak tahu memperjuangkan hak mereka?
Terima kasih semua.
“The journey is the reward" - Steve Jobs







Comments
Post a Comment