Awal pagi 7 Jun 2026, saya menerima perkhabaran yang mendukacitakan apabila dimaklumkan seorang tokoh senior politik UMNO Bahagian Kuala Kedah telah kembali ke rahmatullah iaitu Dato’ Mohd Jamil bin Md Idross. Allahyarham merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor untuk dua penggal iaitu 1995-1999 dan 2004-2008. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah pada 2004-2008 dan jawatan terakhirnya dalam UMNO Bahagian Kuala Kedah adalah sebagai Timbalan Ketua Bahagian pada tahun 2013. Sebenarnya Allahyarham adalah seangkatan dengan arwah ayahanda saya dalam politik dan mereka sama-sama pernah menjadi Ahli Mesyuarat Majlis Perbandaran Kota Setar (MPKS) pada tahun 1990.
Saya mula mengenali rapat dengan beliau sejak tahun 2005 lagi iaitu ketika saya bertugas sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut yang terletak dalam DUN Pengkalan Kundor. Sebagai ADUN, beliau banyak membantu dan memberi sumbangan kepada klinik saya dan sentiasa hadir menyokong program-program kesihatan klinik. Sepanjang beliau berkhidmat sebagai ADUN, sumbangan beliau bukan sekadar kepada klinik sahaja malah jasanya amat besar kepada masyarakat setempat yang pastinya akan sentiasa diingati.
Apabila saya menyertai Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 2008, beliau merupakan seorang tokoh yang banyak membantu saya bertatih dalam politik. Maklumlah saya seorang doktor baru pulang dari luar negara tentunya masih kekok bergaul dengan orang politik akar umbi maka beliau sentiasa menjadi pemudahcara untuk saya. Saya banyak belajar teknik berucap, berpantun, berjenaka, beramah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada beliau. Banyak nasihat beliau kepada saya masih saya pegang sehingga hari ini.
Ketika saya memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian, beliau juga turut sama turun membantu menjayakan program-program di peringkat cawangan. Program-program bersama masyarakat amat dekat di jiwanya. Tambahan pula, kemesraan beliau dengan masyarakat memang tiada tandingannya. Kesetiaannya yang tidak pernah berbelah bahagi kepada parti UMNO sangat saya sanjungi dan kagumi.
Allahyarham akan sentiasa dikenang kerana mempunyai suara merdu yang seiras vokal Ahmad Jais dan sentiasa dijemput secara spontan untuk membuat persembahan nyanyian dalam majlis rasmi. Saya selalu bergurau dengan beliau mengatakan sebenarnya suara beliau lebih sedap daripada Ahmad Jais sendiri.
Sesungguhnya tragedi yang berlaku adalah sesuatu yang amat menyayat hati. Saya agak terkilan kerana tidak berkesempatan memberi penghormatan yang terakhir kerana berada di Kuala Lumpur untuk mengurus kemasukan anak ke universiti. Walau bagaimanapun doa akan sentiasa saya panjatkan buat beliau. Memori bersama beliau akan sentiasa dalam sanubari saya dan akan dikenang sepanjang hayat. Budi yang baik dikenang jua.
Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga dan semoga sentiasa tabah dengan ketentuan ilahi ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama kalangan orang-orang yang beriman.
Al-fatihah














Comments
Post a Comment