Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bil 1/2026 Daerah Kota Setar telah diadakan pada 28 Julai 2026 dan dipengerusikan oleh Tuan Azmin bin Zainol Abidin, Pegawai Daerah Kota Setar. Turut hadir Tuan Md Razif bin Wan, Pengarah AADK Kedah, Tuan Khairul Anwar bin Ahmad, Pengarah Puspen Karangan, YB Rashidi bin Razak, ADUN Anak Bukit dan YB Teh Swee Leong, ADUN Kota Darulaman.
Selain pembentangan laporan situasi semasa penagihan dadah Daerah Kota Setar oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD dan AADK Daerah Kota Setar, satu kertas pertimbangan berkaitan Program Pemerkasaan Rakyat (Gegar) di Mukim Mergong dan kertas makluman berkaitan Puspen Karangan turut dibentangkan.
Saya telah menyuarakan dua isu berkaitan kertas pertimbangan penubuhan task force pelbagai agensi dalam pengurusan kes wanita dan kanak-kanak terlibat dadah yang saya bentangkan dalam MTMD dua tahun lalu :
Isu 1 : Saya memohon respon pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di atas kegagalan sebuah klinik kesihatan memberi kerjasama kepada task force ini sehingga berlaku kelemahan komunikasi yang menjadi punca kematian seorang bayi berumur 35 hari yang meninggal dunia ketika dalam penjagaan ibunya yang masih aktif menagih dadah. Wakil PKD memberi jaminan akan memberi kerjasama yang sebaiknya selepas ini bagi mengelakkan kejadian ini berulang. Isu punca kuasa task force ini juga tidak timbul kerana menurut Pengarah AADK Kedah, MTMD ini diiktiraf sebagai satu punca kuasa berdasarkan Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2024. Di peringkat pusat, ia dinamakan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD)dan dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.
Isu 2 : Saya memohon respon wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berkaitan isu untuk menggerakkan inisiatif menjalankan intervensi awal pelajar sekolah yang terlibat dadah melalui jaringan kerjasama Pelindung Kanak-kanak JKM dan AADK yang menghadapi kekangan dari segi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Pendidikan. Perbincangan selanjutnya perlu dijalankan bersama PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi mencari kaedah rujukan terbaik bagi mengenalpasti dan memberi rawatan pemulihan awal kepada kanak-kanak yang terlibat dadah sama ada dalam komuniti atau di Puspen Karangan.
Begitulah perjuangan menyelamatkan anak bangsa. Tidak semudah yang disangka dan tidak akan selesai dengan retorik semata-mata tanpa gerak kerja yang bersepadu dan bijaksana. Saya sedar ramai kurang senang apabila saya menuntut peranan yang lebih besar dimainkan oleh setiap pemegang taruh (stakeholders) kerana kita tidak akan berjaya dalam usaha pembanterasan dadah ini jika kita masih beroperasi dengan kaedah lapuk.
Sebagai community based organisation (CBO), dalam konteks ini kami tiada SOP, matlamat kami hanyalah mahu memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak penagih terpelihara dan menyelamatkan lebih ramai kanak-kanak daripada terlibat dadah. Jika ini tidak berlaku maka kami akan menggesa setiap pihak berwajib untuk segera bertindak.











Comments
Post a Comment