Sesi persidangan kes dan libat urus bersama pemimpin komuniti sebuah rumah pangsa di Alor Setar berkaitan seorang pesakit yang mengidap penyakit dual diagnosis telah diadakan pada 27 Julai 2026.
Dual Diagnosis merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu mengalami masalah kesihatan mental dan penyalahgunaan dadah pada masa yang sama.
Pesakit ini berumur 26 tahun mempunyai dua orang anak tak sah taraf yang telah diserahkan penjagaan kepada orang lain. Dia terlibat dengan dadah telah lama dan baru keluar wad psikiatri setelah dirawat selama tiga minggu. Dia merupakan yatim piatu dan sebelum ini tinggal bersama dua orang abangnya yang kini berada di penjara akibat kesalahan berkaitan dadah. Sejak itu makan minum dan rawatan ubatnya diurus oleh jiran dan pemimpin komuniti di sini.
Perbincangan ini juga melibatkan kehadiran Pakar Psikiatri dan Pasukan Komuniti Psikiatri serta Unit Rawatan Pemulihan AADK. Pesakit ini saya dapati telah stabil keadaan mentalnya berbanding dua bulan lalu ketika lawatan pertama saya. Dia akan terus dipantau oleh pihak komuniti setempat dengan kerjasama pihak hospital dan AADK sementara menunggu pembebasan abangnya untuk diputuskan penempatan secara hakiki.
Terima kasih jiran dan komuniti di sini yang sangat saya puji atas kesanggupan dan keprihatinan menjaga pesakit yang telah mereka dikenali sejak kecil lagi.




Comments
Post a Comment