TAHUN KELIMA KHIDMAT PENASIHAT MAHKAMAH BAGI KANAK-KANAK

Pada 8 dan 9 September 2026, tiba giliran untuk saya bertugas sebagai Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-kanak di Kompleks Mahkamah Alor Setar. Sebenarnya sudah genap lima tahun saya berkhidmat sebagai penasihat mahkamah di sini iaitu sejak mulanya pelantikan pertama pada tahun 2021 dan seterusnya dilantik semula setiap dua tahun.

Alhamdulilah sepanjang tempoh ini, dapat juga saya belajar serba sedikit tentang proses perundangan dan prosiding mahkamah walaupun hanya melibatkan pesalah kanak-kanak. Setelah sekian lama, kehidupan saya hanya berlegar di sekitar klinik dan hospital telah menjadikan pengalaman penglibatan secara langsung dalam kes-kes perbicaraan di mahkamah ini sangat menarik dan berharga. Tambahan pula atas peranan sebagai penasihat mahkamah, saya diberi ruang untuk memberi saranan dan syor kepada Majistret berkaitan perintah yang bakal dikenakan terhadap pesalah bawah umur demi kepentingan terbaik kanak-kanak (best interest of the child) tersebut berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001.

Apabila seorang kanak-kanak melakukan kesalahan jenayah, undang-undang tidak memfokuskan kepada hukuman atau pembalasan (retribution), sebaliknya mengutamakan pemulihan (rehabilitation) dan perlindungan (protection). Inilah prinsip yang diamalkan di negara kita bagi memastikan setiap kanak-kanak terlibat mendapat peluang kedua demi masa hadapan mereka yang lebih baik.

Pendedahan kes-kes yang dibicarakan ini banyak membuka mata saya dan membuatkan saya lebih cakna tentang realiti dan isu berkaitan kanak-kanak yang sedang berlaku dalam masyarakat. Ini bertepatan dengan tanggungjawab saya sebagai Pengerusi Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Daerah Kota Setar yang bergerak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.



Comments