Pada petang Jumaat 16 Oktober 2026, saya berdukacita apabila menerima perkhabaran bapa saudara saya, Dato’ Bashah bin Noordin telah kembali ke rahmatullah. Beliau adalah abang sulung ibu saya yang asalnya dari Titi Gajah. Saya sempat menziarahi Allahyarham beberapa bulan lepas di rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya dan telah bersembang lebih sejam. Walaupun sudah berumur 95 tahun dan keadaan fizikal yang agak uzur, memori beliau masih kuat terutamanya apabila berbicara tentang isu-isu politik semasa. Memang setiap kali kami berjumpa, pasti ada kisah-kisah lama berkaitan peristiwa dan dasar negara yang diceritakan. Kami sangat rapat terutamanya ketika beliau tinggal di Anak Bukit selepas bersara, saya akan sentiasa singgah di rumahnya untuk bersembang.
Allahyarham merupakan seorang pesara Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang sangat berpengalaman kerana pernah berkhidmat dalam Kerajaan Negeri Kedah sebagai Pegawai Daerah dan dalam Kerajaan Persekutuan di Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga pernah memegang jawatan dalam pengurusan tertinggi Petronas pada tahun 1980an, antaranya sebagai Pengurus Besar Petronas Dagangan Sdn Bhd.
Satu perkara yang membuatkan saya akan sentiasa mengenang beliau adalah ketika selepas saya tewas PRU13 lalu, Allahyarham telah mengutus satu surat rasmi bertulisan tangan yang mengandungi lebih 10 muka surat kepada saya. Tujuan surat ini adalah selain untuk memberi motivasi dalam politik, ia juga memberi idea baharu untuk pembangunan Kuala Kedah. Ini sememangnya adalah cara profesional orang lama berkomunikasi walaupun dengan anak saudara sendiri.
Saya tahu beliau memang bangga dengan saya menjadi seorang doktor kerana selepas saya bergraduasi dia hanya memanggil saya dengan nama Dr Zaki. Setiap masalah kesihatan beliau akan dirujuknya saya sehingga setiap butir laporan darah dan imbasan diminta penerangan jelas. Allahyarham adalah seorang yang sangat tersusun (organized), berdisplin, terperinci (detail), menepati masa (punctual) dan amat mementingkan ilmu dan kesihatan. Saya yakin ini adalah karakter positif yang telah terbentuk sejak zaman mudanya.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diberi pengampunan dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Al-fatihah.
![]() |
| Keratan Buletin Nada Petronas Edisi Mac 1986 |
![]() |
| Dato’ Bashah berada di sebelah di kiri saya, ketika menghantar saya berangkat dari Airport Subang untuk menyambung pengajian di Republik Ireland pada 1996 |



Comments
Post a Comment