Mesyuarat pertama lantikan baharu Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah untuk sesi 2026-2029 telah diadakan pada 29 September 2026. Ini adalah penggal keempat saya berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pelawat Psikiatri iaitu sejak tahun 2015. Pada 2020, saya sempat berehat sepenggal dan menyambung semula pada 2023 iaitu pada sesi lepas. Ini bermakna saya sebenarnya telah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital ini lebih lama daripada tempoh saya bertugas di hospital ini, iaitu selama 7 tahun sebelum ini.
Perlantikan Ahli Lembaga Pelawat kali ini boleh dikatakan lebih mantap dengan penyertaan wakil-wakil agensi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PDRM dan Lembaga Zakat. Mereka pastinya akan memudahcara pesakit-pesakit mental yang memerlukan bantuan daripada agensi mereka.
Saya juga telah dipilih semula sebulat suara sebagai Pengerusi Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah untuk sesi ini. Ini juga adalah penggal keempat saya berkhidmat sebagai Pengerusi.
Cabaran perkhidmatan psikiatri saban tahun semakin hebat, dengan pertambahan kes kanak-kanak dan penagihan yang semakin kompleks yang menuntut komitmen dan kreativiti yang tinggi Ahli-ahli Lembaga dalam menangani setiap permasalahan kes. Fokus utama gerak kerja saya sesi ini masih lagi mengekalkan elemen 4K iaitu Kebajikan, Kemudahan, Kesedaran dan Komunikasi demi kesejahteraan pesakit mental.
Mesyuarat turut dihadiri YBhg Dr Akmal Naziah binti Ahmad, Timbalan Pengarah 1 yang menanggung tugas Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah yang telah menyampaikan sijil perlantikan dan Dr Mohd Effendi bin Hashim, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah.















Comments
Post a Comment