MALAM KEMILAU BUDI ALUMNI PERUBATAN UKM

Pada 14 November 2026, saya menemani isteri menghadiri Majlis Kemilau Budi yang merupakan majlis makan malam tahunan alumni Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Hotel Marriot Putrajaya. Graduan perubatan tahun 2001 ialah penganjur untuk majlis makan malam tahun ini. Isteri saya merupakan graduan perubatan UKM tahun 2003.

Walaupun saya bukan graduan UKM, tetapi saya mengenali ramai graduan 2001 kerana kebanyakan mereka adalah rakan seperjuangan yang pernah sama-sama menuntut di Matrikulasi Sains Ekspres UKM. Kami seramai 14 orang dari matrikulasi UKM ini mencuba nasib menghadiri temuduga dan berjaya mendapatkan tawaran untuk melanjutkan pengajian perubatan di Republik Ireland. Maka kami berpisah haluan sementara sahabat-sahabat yang lain meneruskan pengajian di Fakulti Perubatan UKM.

Saya amat teruja dapat bertemu kembali sahabat-sahabat lama kerana ada yang sudah lebih 30 tahun tidak berjumpa. Mohon maaf sekiranya saya tidak berapa ingat nama walaupun wajahnya sangat dikenali, terutamanya rakan-rakan wanita. Ada juga yang mencadangkan agar diadakan majlis reunion untuk matrikulasi pula memandangkan saya merupakan Presiden persatuan pelajar matrikulasi ketika itu. Insya Allah jika ada kesempatan masa memang boleh diatur kerana ada sahabat-sahabat dari fakulti lain yang sudah lama tidak bertemu.












Comments