NASIB TIGA BERADIK DI KG MASJID LAMA

Dalam program ziarah kasih Ramadan pada 30hb Jun 2015 lalu, saya dan Pasukan Saringan Kesihatan (PASAK) berkesempatan melawat seorang ibu tunggal berumur 35 tahun bersama 3 orang anaknya iaitu darjah 1, 2 dan 4 di Kg Masjid Lama, Kuala Kedah. Suaminya meninggal dunia 2 tahun lalu dan kini menyara hidup dengan bekerja di sebuah restoran di jeti Kuala Kedah. Ibu ini telah menerima bantuan persekolahan bulanan untuk anak-anaknya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tetapi apa yang menyedihkan, anak-anak beliau sudah 2 bulan tidak ke sekolah dan ini disahkan sendiri oleh guru besar sekolah. Menurut guru besar juga, pihak sekolah sudah kehabisan ikhtiar dan pendekatan yang boleh diambil bagi memastikan anak-anak ini tidak tercicir tetapi apakan daya, pihak sekolah tidak mendapat kerjasama yang baik daripada si ibu. Lawatan dan nasihat daripada guru dan pemimpin masyarakat pun tidak diendahkan. Dengan suasana rumah yang sangat kotor, tanpa bekalan air bersih, pakaian tidak berbasuh ternyata kehidupan anak-anak beliau amatlah daif. Makan minum anak juga tidak diambil tahu, walaupun saya lihat banyak beras dan minyak masak sumbangan masyarakat kepadanya. Kadang-kadang, walaupun kita berfikir kita telah membantu tetapi sebenarnya tidak. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dengan cara yang terbaik dan bukan sekadar dengan memberi sumbangan wang dan barang dapur semata-mata kerana ini bukan jalan penyelesaian.


Saya telah berhubung dengan pihak JKM dan memohon mereka agar dapat turun membuat penilaian semula agar anak-anak ini mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana persekitaran mereka tidak lagi sihat dan selamat. Ini adalah satu contoh kes pengabaian jika dilihat dalam konteks Akta Kanak-Kanak 2001 kerana anak-anak ini perlu mendapat perlindungan dari segi tempat tinggal, kesihatan, nutrisi dan pendidikan.


Jika ibu bapa gagal memainkan peranan mereka, maka sudah menjadi tanggungjawab masyarakat dan kerajaan untuk mengambilalih tanggungjawab tersebut. Semoga pihak JKM dapat membuat tindakan segera dan memberikan yang terbaik demi masa hadapan anak-anak bangsa yang malang ini.

Comments