IKON AKTIVIS MASYARAKAT YANG HEBAT

Pada 7 dan 8 Januari 2020, saya berpeluang mengiringi YBhg Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Pengerusi Kanan MCPF sepanjang program lawatan beliau ke Kedah dan Perlis. Selepas menjemput beliau di lapangan terbang Alor Setar, kami terus bergerak ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk melawat YDH Dato’ Ketua Polis Kedah seperti yang telah diatur lebih awal oleh saya. Pada malamnya YBhg Tan Sri bersama YDH Dato’ Timbalan Ketua Polis Kedah menghadiri perjumpaan bersama pengerusi-pengerusi MCPF daerah dari seluruh Negeri Kedah.

Pada keesokan paginya, kami bergerak ke IPK Perlis di Kangar untuk majlis kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Perlis. Sebelum pulang, YBhg Tan Sri berkesempatan melawat pejabat MCPF Daerah Kubang Pasu di Pekan Jitra.

Kesimpulannya, saya kagum melihat tenaga YBhg Tan Sri yang sungguh komited dan penuh dengan idea. Pengalaman beliau sangat luas kerana pernah menjadi Ahli Parlimen ketika berumur 24 tahun tetapi bersara dari politik pada 1992, dan sejak itu sehingga hari ini beliau terus aktif dalam gerakan NGO. Beliau adalah ikon aktivis masyarakat di negara kita yang sukar dicari ganti.

                                     








Comments