Kerajaan Kedah, Pusat diminta ‘buka mata’ - Utusan Online 18 November 2020

ALOR SETAR: Kerajaan perlu ‘buka mata’ mengenai bahaya ancaman penyalahgunaan ketum apabila seramai 128,000 individu di negara ini dilaporkan terjebak dengan gejala tersebut pada tahun lalu.

Statistik itu yang dikeluarkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) baru-baru ini dianggap tinggi dan membimbangkan serta tindakan drastik perlu diambil sebelum masalah tersebut bertambah serius.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar, Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid berkata, perangkaan itu menunjukkan jumlah individu yang terjebak dengan penyalahgunaan ketum pada tahun lalu berada pada kedudukan kedua selepas ganja iaitu seramai 146,000 orang.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan kebanyakan individu yang dikaitkan dengan penyalahgunaan ketum itu dari Kedah, selain beberapa buah negeri lain.

“Jumlah mereka yang terlibat dengan ketum itu sangat tinggi dan kemungkinan perangkaan tersebut terus meningkat dan melepasi jumlah penyalahgunaan ganja dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya di sini hari ini.

NHMS adalah satu kajian yang dilakukan setiap lima tahun untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan status kesihatan masyarakat di Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Kota Setar berkata, statistik NHMS itu juga menunjukkan jumlah penyalagunaan ketum lebih tinggi berbanding pil kuda, syabu dan ecstasy (101,000 orang), morfin dan heroin (45,000 orang) serta menghidu gam dan pelarut (33,000 orang).

“Jumlah penyalahgunaan ketum dipercayai lebih tinggi berbanding beberapa jenis dadah lain kerana ketum mudah diperoleh dan harganya murah di pasaran.

“Malah, pokok ketum sememangnya mudah tumbuh dan subur terutamanya di Kedah, malah banyak ditanam di halaman rumah sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Zaki berkata, pihak kerajaan negeri juga perlu mempertimbangkan cadangan beberapa pihak sebelum ini supaya melarang tanaman ketum di negeri itu.

Menurutnya, larangan tersebut sepatutnya disegerakan berikutan penyalahgunaan ketum yang semakin berleluasa termasuk di peringkat pelajar sekolah.

Beliau memberitahu, laporan NHMS itu juga menunjukkan seramai 300,000 orang dewasa di Malaysia pernah menggunakan dadah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

“Pada masa sama, 100,000 orang dewasa di negara ini masih menggunakan dadah,” tambahnya.

Utusan Malaysia 20 Oktober lalu melaporkan polis Kedah akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya melarang penduduknya menanam pokok ketum dalam usaha mengekang penyalahgunaan tumbuhan tersebut dalam kalangan penduduk yang semakin membimbangkan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan untuk tindakan lanjut pihak kerajaan negeri dalam tempoh terdekat. -UTUSAN ONLINE

Comments