KISAH IBU TUNGGAL DAN PENAGIHAN

Pada 8 Disember 2020, saya mewakili Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar bersama AADK Daerah Kota Setar dan Pasukan Pelindung Kanak-kanak JKM telah mengadakan lawatan ke sebuah rumah di Taman Bersatu, Kuala Kedah. Rumah ini adalah rumah seorang lelaki berbangsa India berumur lingkungan 70 tahun yang baharu tamat tempoh pengawasan oleh AADK. Sebuah bilik dalam rumah ini kononnya disewa sejak tahun lalu oleh seorang ibu tunggal Melayu berumur 31 tahun bernama Sarah (bukan nama sebenar) bersama bayi lelakinya yang tak sah taraf yang baharu berumur 3 bulan dan anak perempuannya berumur 4 tahun.

Ketibaan kami di rumah ini disambut oleh seorang lelaki Cina yang diketahui juga merupakan OKP AADK. Lelaki ini memaklumkan tuan rumah tiada dan dia tolong membukakan kunci pintu rumah ini untuk kami masuk dan kemudian dia bergegas keluar. Keadaan rumah amat menyedihkan kerana sangat kotor dan penuh sampah sarap yang sememangnya tidak sesuai untuk dihuni oleh kanak-kanak apatah lagi bayi yang baharu lahir. Pihak AADK menjumpai peralatan yang digunakan untuk menagih dan tidak menolak kemungkinan rumah ini dijadikan sarang penagihan.

Sarah yang berasal dari Kuantan, mengakui dia aktif mengambil dadah sejak beberapa tahun lepas. Pihak Pelindung Kanak-kanak dan Klinik Kesihatan Kuala Kedah telah melawat untuk tujuan pemantauannya sudah empat kali sejak sebulan lepas, tetapi Sarah tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berubah demi anak-anaknya. Dia kerap kali menyatakan dia amat sayang akan anak-anaknya tetapi perlakuan tinggal di rumah yang tidak sihat persekitarannya membuktikan yang sebaliknya.

Justeru itu, dengan hati berat, kami terpaksa bertindak dan tidak boleh membiarkan keadan sebegini berterusan. Sarah kemudiannya telah ditahan dan dibawa ke pejabat AADK Daerah. Anak-anaknya telah dibawa oleh Pasukan Pelindung Kanak-kanak ke Klinik Kesihatan Kuala Kedah untuk pemeriksaan kesihatan. Selesai laporan polis dibuat oleh Pegawai Pelindung Kanak-kanak, kanak-kanak dan bayi ini telah dihantar oleh ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat. Saya sangat kagum dengan komitmen dan kerja berpasukan yang ditunjukkan di Kota Setar kerana semuanya adalah atas inisiatif jabatan masing-masing yang bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan anak bangsa. 

Seperti penulisan saya yang sebelum ini, tidak dinafikan sudah ada keperluan untuk diwujudkan sebuah pusat pemulihan yang membolehkan penagih wanita dirawat pulih bersama anak mereka. Strategi ini mungkin lebih berkesan bagi membantu kepulihan mereka apabila kasih sayang terhadap anak mereka akan mempercepat proses untuk mereka kembali ke pangkal jalan. Ruang untuk NGO yang mampu mewujudkan pusat pemulihan sebegini harus disediakan melalui bantuan geran peruntukan dan latihan modul pemulihan. 

Sehingga semua ini dapat digubal di peringkat dasar oleh pihak kerajaan, buat masa ini, kami di peringkat kerja lapangan terpaksa memisahkan ibu dan anak demi keselamatan dan masa hadapan anak-anak ini. Mungkinkah sudah sampai masanya usaha untuk penubuhan pusat pemulihan sebegini dimulakan di Kota Setar?












Comments