PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2020

Pada 27 hingga 28 Mac 2021, telah berlangsung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur setelah beberapa kali tertangguh akibat kekangan pandemik. Untuk perhimpunan kali ini walaupun kehadiran perwakilan hanya melibatkan G6 iaitu kepimpinan utama UMNO Bahagian dan selebihnya bersidang secara maya, ia tetap menjadi medan penting dalam memutuskan halatuju parti terutamanya menjelang PRU15.

Ini merupakan kali ketiga saya menghadiri PAU sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, dan pernah menghadirinya sejak 1997 sebagai perwakilan Kelab UMNO; perhimpunan kali ini sangat signifikan kerana ia benar-benar membawa suara akar umbi dalam senario politik negara yang tidak menentu. Keputusan memutuskan kerjasama dengan PPBM dan penarikan diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional apabila parlimen dibubarkan adalah satu mandat akar umbi yang diterjemahkan oleh perwakilan secara sebulat suara meskipun tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin tertentu.

Ini membuktikan UMNO adalah sebuah parti yang demokratik dan meletakkan suara majoriti ahli sebagai satu keutamaan yang mengatasi kepentingan-kepentingan lain. Pendirian UMNO ini sangat jelas dan tegas serta memudahkan semua pihak untuk bergerak dengan satu nada selepas ini tanpa ada sebarang kekeliruan lagi. Gerak kerja selepas ini harus ditumpukan untuk memastikan Barisan Nasional dapat bergerak secara solo dengan berkesan (sementara menanti keputusan akhir PAS) dan usaha untuk memenangi hati rakyat harus diteruskan.

Pada pandangan saya, persediaan utama adalah bagaimana UMNO dan Barisan Nasional dapat memaparkan satu tawaran manifesto yang menarik kepada rakyat sebagai menghadapi PRU15 dalam suasana ekonomi dan politik yang tidak stabil. Di samping itu, usaha mengembalikan semula kepercayaan (trust) rakyat kepada politik dan pemimpin dengan tawaran yang jujur dan realistik harus diberi penekanan memandangkan keyakinan rakyat terhadap arus politik negara semakin terhakis.

                                       









Comments