KISAH TIGA KES KANAK-KANAK POSITIF DADAH

Pada 12 Julai 2023, saya telah mempengerusikan mesyuarat Jaringan Prihatin Kanak-kanak Daerah Kota Setar bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar.

Mesyuarat kali ini diadakan khas bagi membincangkan 3 kes kanak-kanak (berumur setahun lebih) yang dimasukkan ke wad dengan simptom yang dikesan berpunca daripada pengambilan dadah (methamphetamine) secara tidak sengaja. Hal ini berlaku disebabkan kecuaian ibu bapa mereka yang merupakan pengguna dadah. Dua kes ini berlaku di Daerah Kota Setar dan satu kes lagi di Daerah Pokok Sena. Salah seorang kanak-kanak ini masih dirawat di hospital. Ibu bapa yang terlibat dan didapati positif dadah ini telah ditahan oleh pihak Polis.

Dalam mesyuarat ini seramai 22 orang telah hadir termasuk Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Ketua Pegawai AADK Daerah, Pegawai Turus D11 IPK Kedah, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah, Ahli-ahli Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak, Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak dan Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

Selain membincangkan pelan penjagaan kanak-kanak ini selepas discaj dan bantuan kebajikan segera, kami juga merancang untuk menggiatkan lagi program kesedaran dan advokasi tentang penyalahgunaan dadah dan kesan kepada kanak-kanak dengan menyasarkan penyertaan pemimpin komuniti. Program bersama masyarakat akar umbi juga bakal dianjurkan terutamanya bagi memperkasa ibu muda sebagai benteng pencegahan dan menjadi faktor pelindung dalam menangani permasalahan ini.

Sesungguhnya kejadian yang berlaku berturut-turut dalam tempoh dua minggu ini sangatlah menyedihkan. Kami berazam untuk menyelaras kerjasama lebih baik bagi mencegah tragedi sebegini daripada berulang lagi pada masa hadapan.






Comments