7 MITOS PENYAKIT
DIABETES
Penyakit Diabetes Mellitus
atau kencing manis sudah menjadi satu penyakit kronik yang telah lama
menghantui masyarakat di Malaysia sejak negara mula mencapai status negara
membangun. Fenomena ini sememangnya terjadi kesan daripada peningkatan taraf
ekonomi rakyat menyebabkan mereka terdedah kepada cara pemakanan dan gaya hidup
tidak sihat. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan
kali keempat pada 2011, menunjukkan 15.2% atau 2.6 juta rakyat Malaysia berumur
18 tahun ke atas mengidap diabetes. Maka tidak hairanlah, komplikasi seperti
kebutaan, penyakit jantung koronari, strok, kerosakan buah pinggang, mati pucuk
dan amputasi anggota akan menimbulkan beban kepada individu, keluarga dan
negara bukan sahaja dari segi kewangan semata-mata malah menjejaskan kualiti
hidup dan boleh membawa maut.
Malangnya masyarakat kita
masih kurang jelas tentang penyakit ini dan masih banyak salah faham yang boleh
mengakibatkan amalan yang salah dalam mencegah dan mengawal komplikasi diabetes
ini. Di sini penulis utarakan 7 mitos yang sentiasa dirasakan benar oleh
pesakit dan masyarakat tetapi sebenarnya tidak.
1. Kawalan gula tidak penting
dalam Diabetes
Pesakit yang berfikiran
sebegini tidak merasakan diabetes merupakan satu gejala yang serius. Mereka
perlu sedar satu-satunya cara untuk mencegah komplikasi adalah dengan mengawal
kandungan gula dalam darah. Nilai gula atau glukosa dalam darah yang baik
adalah 4.4 hingga 6.1mmol/l bagi ketika berpuasa dan 4.4 hingga 8.0mmol/l untuk
selepas makan atau purata gula dalam darah untuk jangkamasa 3 bulan (HbA1c)
ialah 6.5%. Selain itu, bukan sekadar kandungan gula sahaja yang perlu dikawal
tetapi juga kandungan kolesterol, tekanan darah dan berat badan bagi
mengurangkan risiko komplikasi buruk yang telah disebutkan di atas.
2. Hanya orang gemuk sahaja akan
mendapat Diabetes
Walaupun kegemukan atau
obesiti merupakan satu risiko mendapat diabetes tetapi hal ini tidak semestinya
berlaku kerana sesiapa sahaja yang terdedah kepada cara hidup tidak sihat boleh
mendapat diabetes. Malah, pesakit yang mengalami kegagalan organ pankreas yang
fungsinya untuk menghasilkan hormon insulin (yang mengawal kandungan gula dalam
darah) akan mengalami penurunan berat badan dan menjadi kurus.
3. Pesakit diabetes tidak boleh
melakukan senaman dan perlu banyak berehat
Satu perkara yang tidak benar
dan sebaliknya pesakit diabetes perlu menjalankan aktiviti senaman yang
konsisten bagi meningkatkan keberkesanan hormon insulin di samping mengawal
berat badan dan menguatkan jantung. Senaman juga dapat meningkatkan kecergasan
badan, membantu aliran darah dan menjadikan tidur lebih nyenyak.
4. Pesakit tidak perlu mengawal
pemakanan sekiranya telah makan ubat diabetes
Penjagaan pemakanan terutama
yang berkalori tinggi (bukan sekadar jumlah gula dalam minuman/makanan) dan
pengambilan ubat mengikut jadual harus dilaksanakan selari agar kandungan gula
dalam darah dapat dikawal disertai dengan aktiviti fizikal yang berdisiplin.
Tiga elemen ini merupakan perkara utama yang perlu diterapkan bukan sahaja
untuk mengawal diabetes tetapi juga dalam mencegah komplikasi.
5. Suntikan insulin bermakna
sudah sampai peringkat teruk Diabetes
Tidak semestinya kerana ada
pesakit yang sudah memerlukan suntikan insulin pada peringkat awal penyakitnya
didiagnosa, disebabkan hormon insulin semulajadi dalam badannya sudah tidak
berfungsi atau sudah tidak dihasilkan lagi oleh kelenjar pankreas. Kadangkala,
penggunaan insulin menunjukkan penyakit sudah sampai ke peringkat yang ubat
makan tidak lagi berkesan dan suntikan insulin penting untuk menjadikan kawalan
gula dalam darah menjadi lebih baik. Pesakit diabetes pada masa ini tidak perlu
lagi takut akan suntikan insulin kerana jarum yang digunakan sangat halus
dengan hanya memberi tahap kesakitan yang sangat minimum. Malah telah terbukti
dalam kajian antrabangsa bahawa suntikan insulin adalah kaedah pengawalan gula
yang paling berkesan terutama bagi insulin sintetik yang tindakbalasnya serupa
dengan insulin fisiologikal.
6. Ubat diabetes menyebabkan
kerosakan buah pinggang
Ini merupakan salah faham yang
paling berleluasa dan sentiasa dijadikan penyebab kenapa pesakit enggan
mengambil ubat diabetes untuk jangkamasa yang lama. Kebenaran adalah
sebaliknya, apabila pesakit tidak mengambil ubat diabetes mengikut jadual dan
secara konsisten, akan menyebabkan kandungan gula dalam darah yang sentiasa
tinggi sehingga dalam jangkamasa panjang akan merosakkan pula buah pinggang
sehingga memerlukan dialisis. Jika pesakit mengalami masalah buah pinggang, ini
merupakan kesan diabetes itu sendiri dan bukannya berpunca daripada ubatan.
Oleh itu pemantauan berkala melalui pengambilan darah dan air kencing penting
bagi mengesan masalah buah pinggang ini di peringkat awal agar dapat
dilambatkan kesan buruk yang boleh membawa ke peringkat dialisis. Di Malaysia,
55% pesakit tahap akhir kerosakan buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis
adalah pesakit diabetes. Satu lagi faktor yang selalu menjadi punca masalah
buah pinggang ini adalah pengambilan ubat-ubatan daripada pihak yang tidak
bertauliah atas nama ramuan semulajadi atau tradisional. Sudahlah dijual dengan
harga yang tidak murah, tiada kajian saintifik yang membuktikan
keberkesanannya, bahkan ada yang tidak mendapat kelulusan kementerian
kesihatan. Ini amat berbahaya kepada pesakit.
7. Mengidap Diabetes ibarat
menunggu hukuman mati
Ada ramai pesakit diabetes
yang menjalani kehidupan yang berkualiti seperti orang biasa. Mereka ini adalah
pesakit yang mengamalkan cara hidup sihat dengan mengawal diet mereka, beraktiviti
fizikal dan mengambil ubat diabetes dengan berdisiplin. Malah jangka hayat
mereka lebih panjang daripada orang yang tiada diabetes. Hidup mereka tidak
dihantui oleh komplikasi-komplikasi buruk yang menjejaskan kualiti hidup.
Mereka sedar diabetes belum ada penawar yang terbukti dapat menyembuhkan mereka
tetapi mereka memilih jalan untuk hidup dengan diabetes melalui tingkahlaku
yang positif dan sentiasa belajar tentang penyakit yang mereka hidapi.
Kesimpulannya, kerjasama
antara individu, keluarga dan masyarakat beserta pihak pengamal perubatan amat
penting bagi menyebarkan kesedaran tentang bahaya diabetes dengan disertai
perkongsian ilmu yang benar bagi mencegah dan mengawal penularan diabetes di
negara kita. Hanya maklumat dan ilmu yang benar sahaja yang dapat membawa
kebijaksanaan.
-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-
Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Suara Pelindung Pengguna edisi April 2015
Comments
Post a Comment