GAJET DAN ANAK ANDA
Dalam
era teknologi moden kini, penggunaan gajet-gajet seperti tablet dan telefon
pintar yang menggunakan aplikasi internet adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ditambah pula dengan penggunaan
media yang sedia ada seperti televisyen dan permainan video, telah menjadi kegilaan anak-anak kita
terutama yang tergolong dalam generasi Y. Di Amerika Syarikat, pihak American
Academy of Paediatrics (AAP) telah mengeluarkan garis panduan bagaimana untuk
ibu bapa dapat mengawal penggunaan media-media dan gajet-gajet di kalangan
anak-anak mereka. Ini berikutan pihak AAP dalam kajiannya mendapati kadar
penggunaan media elektronik seperti televisyen, ipad, komputer dan telefon
pintar iaitu jumlah ‘screen time’ bagi kanak-kanak yang
berumur 8-10 tahun telah mencapai 8 jam sehari. Fenomena ini amat membimbangkan kerana
Amerika Syarikat adalah negara
yang telah mula merasai kesan-kesan buruk media ini kepada kanak-kanak mereka
kerana kebanjiran penggunaan gajet-gajet ini bermula di sana. Oleh itu, kita di Malaysia harus mula
mengambil berat isu ini sebelum ia menjadi lebih serius yang boleh mengancam
masa hadapan anak-anak kita.
Pihak
AAP telah mengesan dalam kajiannya bahawa kanak-kanak yang tidak dikawal
pendedahan terhadap media-media ini boleh menyebabkan masalah gangguan fokus
terhadap pembelajaran di sekolah, masalah obesiti, sikap agresif, masalah tidur yang juga bakal mengganggu mood, sikap,
pembelajaran; serta pendedahan terhadap unsur-unsur negatif yang menjadi
kandungan media tersebut. Atas kesedaran ini, maka tidak hairanlah, AAP telah
mengambil inisiatif menerbitkan satu garis panduan yang berasaskan kajian-kajian terkini sebagai rujukan para ibu bapa. Dalam garis
panduan tersebut, adalah dicadangkan tempoh masa penggunaan gajet bagi kanak-kanak
yang berumur 2 tahun hingga 18 tahun atau
‘screen time’ yang dibenarkan bagi mereka dalam sehari hanyalah
tidak lebih daripada 2 jam sahaja. Manakala bayi yang berumur 2 tahun ke bawah
tidak digalakkan langsung untuk diberi pendedahan berkenaan teknologi gajet ini
malah penggunaannya secara tidak langsung juga harus dielakkan (seperti
menidurkan bayi dalam keadaan televisyen yang sedang terpasang).
Tentunya pengamalan garis panduan ini adalah
sesuatu yang sukar dilaksanakan kerana begitulah keluhan yang lahir sebagai
respon daripada ibu bapa di sana. Walau bagaimanapun pihak AAP ada mencadangkan
jika perkara ini tidak dapat dielakkan, adalah lebih baik jika penggunaan gajet
ini dan kandungannya dipantau oleh ibu bapa, sebagai contoh, permainan video
yang baru dimuat turun dimainkan oleh ibu bapa terlebih dahulu bagi
memastikannya bersih daripada mesej-mesej yang tidak sihat. Pasti hal ini akan
menyusahkan pula ibu bapa kerana tujuan dibenarkan anak-anak bermain gajet ini
adalah sebagai memberi ruang masa kepada ibu bapa untuk melakukan kerja-kerja
lain dan gajet digunakan sebagai untuk mengalih perhatian anak. Namun begitu,
memang jelas penggunaan gajet bersama-sama anak tidak dinafikan manfaatnya
terutama dari segi menggalakkan interaksi dan komunikasi lebih-lebih lagi jika kandungan media
tersebut bercorak pendidikan. Ada pakar yang mengatakan gajet yang bercorak
interaktif seperti ipad adalah lebih selamat, dan kesan jangka masa panjangnya
terutama yang melibatkan perkembangan kognitif masih lagi dalam peringkat
kajian.
Kesimpulannya, garis panduan hanyalah sebagai
satu nasihat kepakaran yang rasmi tetapi semua ini bergantung kepada
kebijaksanaan pemantauan ibu bapa. Ibu bapa juga harus bijak mengimbangkan
penggunaan gajet ini di kalangan anak-anak kerana semestinya kita juga tidak
mahu generasi kita ketinggalan dalam teknologi pada masa warga negara-negara
lain sedang melangkah lebih jauh. Kita mahukan generasi yang mampu membawa
transformasi sosial, politik dan budaya dalam acuan kita di peringkat global.
Semua ini bergantung bukan sekadar sejauh mana ibu bapa dapat mendisiplinkan
anak-anak dalam penggunaan gajet ini tetapi juga sejauh mana mereka sendiri
dapat mengawal disiplin diri mereka ketika menggunakan media moden ini. Jika
ibu bapa sendiri pun tidak mampu mengamalkan disiplin yang baik, secara tidak
langsung ia juga akan menjejaskan usaha pemantauan anak-anak mereka. Kepimpinan
melalui teladan.
-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-
Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Suara Pelindung Pengguna edisi Januari 2015
Comments
Post a Comment