Pada 14hb Jun 2015, penulis telah
menghadiri Persidangan Majlis
Perundingan Belia Negeri Kedah 2015 yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mukhriz
Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah dan persidangan ini dipengerusikan oleh YB
Encik Aminuddin Omar, Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah. Persidangan ini juga
dihadiri oleh Presiden Majlis Belia Negeri Kedah, Saudara Mohd Aizad Roslan, Pengarah
Jabatan Belia dan Sukan Negeri , Haji Aziz Haji Hamid serta Pegawai-pegawai
daerah, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam
Negeri Kedah. Di sinilah berlakunya interaksi dan komunikasi tentang isu-isu belia yang harus
diberi perhatian oleh pihak pentadbir bagi menjamin kesejahteraan dan masa
hadapan yang lebih baik untuk para belia di Negeri Kedah.
Namun agak mendukacitakan, kerana
ada juga ketua jabatan dan agensi yang gagal hadir atau sekurang-kurangnya menghantar
wakil bagi mendengar usul dan pandangan daripada kami, pemimpin-pemimpin belia
Negeri Kedah. Terima kasih kepada ketua-ketua jabatan dan agensi yang hadir dan
menyokong agenda perjuangan belia. Tanpa kehadiran dan respon positif daripada mereka,
hari persidangan ini hanyalah sekadar akan menjadi ‘Hari Pakai Kot’ bagi
pemimpin-pemimpin belia.
Sebagai Exco Majlis Belia Negeri Kedah, penulis telah diberi tanggungjawab untuk membentangkan usul Dadah dan Ketum bagi pihak Majlis Belia Negeri Kedah. Terdapat 3 komponen utama dalam usul ini iaitu Data Statistik Pengguna Ketum, Program Pendidikan dan Penerangan, dan Rehabilitasi. Antara intipati usul tersebut adalah seperti berikut :
Data Statistik Ketum
1. Kerajaan
Thailand telah mengharamkan penanaman dan penggunaan ketum melalui Kratom Act
2486 pada tahun 1943 iaitu lebih 70 tahun lalu apabila penyalahgunaan ketum
telah menjadi semakin berleluasa di kalangan masyarakat mereka. Ini berlaku
apabila kerajaan Thai mengenakan cukai opium yang tinggi pada ketika itu. Sesuatu
yang menariknya, negara mereka mempunyai data yang baik tentang penyalahgunaan
ketum terutama statistik penggunaan minuman 4x100 atau sii kun rooi iaitu satu campuran yang mengkhayalkan yang
mengandungi jus ketum, coca-cola, ubat batuk dan ais kiub.
2. Di
Malaysia, rang undang-undang untuk memasukkan ketum di bawah Akta Dadah (yang
sebelum ini di bawah akta racun) telah memasuki bacaan kedua dan telah
dibentangkan oleh YB Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya di Dewan
Rakyat pada awal tahun ini. Walau bagaimanapun rang undang-undang ini tidak mendapat
sokongan ahli-ahli Parlimen dan telah ditolak untuk diteliti dan dibuat kajian sebelum
dibentang semula.
3. Pada
pandangan saya, antara punca berlaku perkara ini berlaku adalah kerana kita
tidak mempunyai data statistik yang jelas untuk menunjukkan betapa seriusnya
gejala penyalahgunaan ketum di kalangan belia terutamanya di utara semenanjung.
Dengan adanya maklumat data yang lengkap tentang corak penyalahgunaan ketum dan
kesan-kesan buruknya, maka bukan sahaja ahli-ahli poitik malah rakyat juga akan
lebih yakin tentang kepentingan penggubalan akta baharu ini nanti.
4. Tambahan
pula, sebelum kita menggubal apa-apa dasar baharu, asasnya adalah
data-data yang dapat memberi kita
maklumat awal tentang sesuatu perkara, sebagai contoh dalam bidang ekonomi, data-data
yang membentuk petunjuk-petunjuk seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan
Inflasi adalah penting untuk kita membuat perancangan dasar pada masa hadapan
demi kepentingan rakyat. Oleh itu, keperluan untuk mengumpul data dalam isu
ketum ini amat wajar dan tidak boleh dinafikan.
Program Pendidikan dan Penerangan
5. Ketum
ini lambat laun akan disenaraikan juga
sebagai sejenis dadah dengan penggubalan akta baharu nanti. Walau bagaimanapun,
didapati usaha-usaha penerangan dan pendidikan masih lagi kurang bukan sahaja
di peringkat nasional malah juga peringkat akar umbi. Masih ramai lagi yang
belum sedar tentang bahaya ketum dan kajian oleh pihak Universiti Utara
Malaysia baru-baru ini membuktikan bahawa tahap kesedaran ketum sebagai sejenis minuman yang boleh menyebabkan
ketagihan masih rendah di kalangan pelajar sekolah.
6. Rata-rata
masyarakat masih menganggap ketum hanyalah sebagai minuman seperti teh dan kopi
serta sebagai ubat cirit birit yang berkesan. Tetapi hakikatnya ketum sudah
menjadi satu industri yang menguntungkan dan bukan sekadar ubat tradisional.
Senario hari ini membuktikan penyalahgunaan ketum boleh menjadi ancaman terutama
kepada golongan belia kerana ia diambil bukan untuk tujuan rawatan tetapi
sebagai salah satu rekreasi ketagihan. Masyarakat perlu tahu bahawa dalam satu
kajian di utara Semenanjung Malaysia, purata pengambilan bahan mitragynine
dalam satu minuman ketum adalah 79mg dan pengambilannya lebih daripada 3 kali
sehari dalam masa lebih 6 bulan akan menyebabkan lebih separuh daripada
penggunanya akan mengalami gejala ketagihan dan kebergantungan.
7. Maka
tidak hairanlah, Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
telah menyenaraikan ketum sebagai sejenis dadah psikoaktif baharu dalam buku
Laporan Dadah Sedunia tahun 2013 walaupun Amerika Syarikat dan kebanyakan
Negara Eropah masih belum mengharamkannya.
8. Oleh
itu, program pendidikan di peringkat akar umbi untuk membetulkan persepsi masyarakat
bahawa ‘KETUM ITU DADAH’ perlu diperhebat.
Jika tidak, selepas penggubalan dan pewartaan akta ketum ini akan menyebabkan
masyarakat keliru dan ramai akan teraniya akibat penguatkuasaanya kerana belum
bersedia dengan perkembangan terbaru ini akibat tidak mendapat cukup maklumat
daripada media massa dan pihak berwajib. Tidakkah sebelum penggubalan undang-undang
untuk mewajibkan setiap rumah mengamalkan kaedah kitar semula dimulakan dengan
kempen kitar semula yang cukup hebat di setiap peringkat?
Rehabilitasi
9. Pemulihan
seseorang penagih memerlukan tiga kaedah iaitu detoksifikasi, rawatan
farmakologikal dan kaunseling dalam bentuk terapi sikap dan kognitif, serta
kerohanian. Di Negeri Kedah terdapat hanya satu Cure and Care Centre di bawah
kendalian AADK iaitu yang terletak di Karangan, Kulim. Yang lain-lainnya adalah di bawah badan bukan
kerajaan (NGO) dan kebanyakannya menggunakan pendekatan pemulihan secara
kerohanian. Oleh itu pendekatan secara farmakologikal agak terhad di
pusat-pusat pemulihan ini kerana memerlukan kerjasama daripada Kementerian
Kesihatan seperti rawatan penggantian metadon yang telah terbukti bermanfaat dapat
mengurangkan gejala ketagihan.
10. Oleh
itu, Majlis Belia Negeri Kedah mengusulkan bahawa sudah sampai masanya sebuah
Cure and Care dibina di Daerah Kota Setar atau Pokok Sena bagi memudahkan akses
bagi penagih yang ingin secara sukarela atau dengan bantuan keluarga mahu mendapatkan
rawatan bagi membendung gejala ketagihan agar mereka mendapat peluang kedua
menjalani kehidupan yang lebih produktif tanpa dadah. Kita harus menyediakan
prasarana yang memudahkan akses mereka dan harus membantu dengan merawat mereka sebagai
seorang pesakit dan bukannya melabel mereka sebagai seorang penjenayah.
Semoga semua
perkara yang telah saya bentangkan ini mendapat perhatian yang sewajarnya
daripada pihak kerajaan negeri dan persekutuan dan tindakan yang sesuai dapat
diambil oleh pihak berwajib demi melahirkan generasi belia yang bebas dadah di
negeri Kedah ini.
-Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid-
Comments
Post a Comment