KISAH REMAJA DAN KEMURUNGAN


Pada 26 Ogos 2015 lalu, saya berkesempatan melawat seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di Kubang Rotan yang sudah lebih 2 bulan tidak hadir ke sekolah. Saya bersama guru kaunseling sekolah melawat sendiri remaja ini di rumah beliau. Beliau tinggal tiga beranak bersama ibu dan nenek yang sudah uzur. Bapanya meninggal dunia 2 tahun lalu. Menurut ibunya, keluarga mereka telah membawanya berubat dengan ramai bomoh kerana menyangka beliau diganggu makhluk halus. Ini kerana sikap beliau yang menjadi pendiam, tidak banyak bergaul dan enggan pergi ke sekolah. Selepas mengambil beberapa sejarah klinikal daripada remaja ini dan keluarganya, saya mengesyaki beliau mengidap penyakit kemurungan (depression). Saya mengesyorkan kepada ibunya agar mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan moden selepas rawatan secara kerohanian tidak dapat menyembuhkannya. Semoga ibunya akan membawanya mendapatkan rawatan segera agar keadaan tidak menjadi lebih teruk kerana simptom ini telah berlaku semenjak 2 tahun yang lalu. 

Kes kemurungan di kalangan remaja sebenarnya adalah satu trend baru yang berlaku dalam masyarakat kita dan adalah suatu penyakit yang boleh dirawat. Pengalaman saya pada 10 tahun lalu ketika bertugas di Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut, ada kes remaja seperti ini yang kembali pulih selepas menerima rawatan daripada pakar perubatan. Walau bagaimanapun masyarakat masih sukar menerima hakikat tentang masalah mental seperti ini kerana ia tidak dianggap sebagai satu penyakit seperti penyakit-penyakit fizikal yang lain. Masyarakat lebih mudah menerima penyakit ini sebagai gangguan makhluk lain dan bukannya gangguan emosi kerana label berpenyakit psikiatri ini adalah sesuatu yang menjadi stigma dalam masyarakat.

Remaja seperti orang dewasa juga terdedah kepada kepada masalah kemurungan. Dalam satu kajian di negara barat, mencatatkan kadar sehingga 8 peratus remaja yang mempunyai masalah gangguan emosi termasuk masalah kemurungan yang serius. Tetapi malangnya mengikut statistik, 80 peratus remaja tidak mendapatkan rawatan. Ia boleh berlaku di kalangan remaja dari umur 11 hingga 20 tahun dan secara puratanya berlaku pada umur 14 tahun.. Lebih banyak remaja perempuan yang terlibat berbanding remaja lelaki iaitu dalam nisbah 2:1 dan kebanyakan kes berlaku kepada remaja-remaja di bandar. Banyak faktor penyebab kemurungan remaja ini, antaranya keturunan/genetik, konflik keluarga, masalah rakan sebaya, masalah akademik di sekolah, penyakit kronik yang berkaitan seperti hypothyroid, masalah hyperaktif atau ‘anxiety disorder’ ketika zaman kanak-kanak dan lemah dalam pengurusan tekanan. Setiap remaja memerlukan rawatan awal supaya keadaan tidak menjadi bertambah buruk kerana risiko mereka terlibat dengan gejala sosial seperti dadah, kegagalan dalam akademik atau sehingga mempunyai keinginan untuk membunuh diri adalah sangat tinggi.

Oleh itu ibu bapa dan guru harus mengenalpasti simptom-simptom awal kemurungan agar rawatan awal dapat diberi bagi mengelakkan komplikasi yang lebih buruk. Antara simptom-simptomnya adalah :

- Sentiasa dalam mood sedih dan putus asa

- Tidak berminat dengan aktiviti sosial seperti bersukan dan bergaul dengan keluarga dan rakan-rakan

- Perubahan selera makan sehingga menyebabkan kurang berat badan dan menjadi terlampau kurus

- Masalah untuk tidur dan bangun awal untuk ke sekolah

- Masalah akademik di sekolah dengan memperlihatkan penurunan gred yang ketara dan selalu ponteng sekolah

- Selalu mengadu sakit seperti pening kepala dan sakit perut tetapi tiada masalah penyakit fizikal ditemui oleh doktor (simptom somatik)

- Berfikiran negatif tentang diri sendiri dan membenci diri sendiri

- Daya ingatan lemah, kurang tumpuan dan sentiasa berasa letih

- Cepat gelabah atau lembab dalam pergerakan

Rawatan terdiri daripada terapi psikososial yang melibatkan kaunseling pesakit dengan melibatkan ibu bapa dan ahli keluarga serta rawatan farmakologikal. Sebanyak 70 peratus akan pulih dengan rawatan terapi kaunseling dan perubatan. Kesan rawatan perubatan hanya akan menampakkan perubahan sekurang-kurangnya selepas 6 minggu rawatan. Selepas pulih pula kadar risiko untuk kes berulang adalah 40 peratus selepas dua tahun dan 70 peratus selepas 5 tahun. Oleh itu, pemantauan berterusan penting walaupun remaja terbabit telah pulih bagi mengesan lebih awal kejadian kes yang berulang.

Kesedaran terhadap kesihatan mental di dalam masyarakat di negara kita masih lagi berkurang. Aktiviti-akitiviti kesedaran dalam meningkatkan kefahaman rakyat sama ada melalui penganjuran program oleh agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan harus dipergiat. Hanya dengan kesedaran dan ilmu kesihatan yang betul kita dapat menggalakkan para ibu bapa dan pendidik untuk menyaring dan mendapatkan rawatan bagi remaja yang terlibat.


Berbalik kepada kisah remaja malang tadi, saya berdoa semoga anak yatim ini akan pulih dan seterusnya dapat menyambung pembelajarannya di sekolah demi masa hadapan yang lebih baik. Tambah-tambah lagi beliau merupakan anak tunggal dan datang daripada keluarga yang susah. Televisyen dan radio pun tidak ada di rumahnya. Ketika kami hendak pulang, pegawai zakat juga baru sampai untuk menyampaikan barang keperluan dapur kepada keluarganya. Lawatan susulan perlu bagi memastikan beliau telah dibawa untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Comments