TEKS PERBAHASAN USUL TENAGA KERJA BELIA DALAM BIDANG PEKERJAAN 3D (DIFFICULT, DANGEROUS, DIRTY) OLEH DR
ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID, EXCO MAJLIS BELIA NEGERI KEDAH DI MAJLIS PERUNDINGAN
BELIA NEGERI KEDAH SIDANG 1/2016 PADA 28 APRIL 2016
1.
Usul yang melibatkan isu penglibatan tenaga
kerja belia dalam bidang kemahiran dan pekerjaan 3D (Difficult, Dangerous, Dirty) telah diterima oleh pihak Majlis Belia
Negeri Kedah hasil daripada usul majlis perundingan belia di peringkat daerah
yang meliputi 5 buah daerah iaitu Kota Setar, Padang Terap, Kulim, Sik dan
Kubang Pasu. Maka tidak hairanlah, topik ini menjadi isu hangat di kalangan
kepimpinan belia di peringkat akar umbi kesan daripada pengumuman perancangan
pengambilan 1.5juta pekerja asing warga Bangladesh oleh pihak kerajaan, yang
mana telah ditangguhkan buat masa ini.
2. Jika dirujuk kepada Piawaian Pengelasan
Pekerjaan Malaysia (MASCO) tahun 2013, definisi bidang pekerjaan 3D ini tidak
dihurai secara spesifik malah tidak disebut dalam sumber rujukan utama pekerjaan
di Malaysia ini. Jika hendak difikirkan secara mendalam, ada juga bidang
pekerjaan dalam bidang pengurusan dan profesional (iaitu kumpulan utama 1 dan 2
berdasarkan MASCO) yang melibatkan unsur-unsur 3D tetapi jika dinilai dalam
konteks yang melibatkan ruang lingkup pekerjaan yang biasanya menggunakan warga
asing, bidang pekerjaan ini bolehlah dikatakan merangkumi kumpulan utama 5
iaitu pekerja perkhidmatan dan jualan hingga kumpulan utama 9 iaitu pekerja
asas. Industri-industri yang terlibat dengan pekerjaan 3D pula majoritinya
adalah industri pembinaan dan perladangan walaupun ada juga di industri
pembuatan dan sektor perkhidmatan.
3. Ramai di kalangan belia yang menafikan kenyataan
bahawa mereka tidak berminat dengan pekerjaan 3D. Sebenarnya isu utama yang
menghalang penglibatan belia adalah disebabkan faktor gaji yang yang
sememangnya lebih menarik jika dilihat dari persepsi pekerja asing. Fenomena
ini tentunya sudah menjadi lumrah, sepertimana rakyat kita sanggup melakukan
pekerjaan 3D di negara maju kerana gaji minimum sana lebih memberi pulangan
yang lumayan berbanding gaji minimum di sini.
4. Oleh itu, pada pandangan kami di Majlis Belia Negeri
Kedah, fokus utama kita dalam isu ini bukanlah untuk meningkatkan penglibatan
belia dalam pekerjaan 3D dalam kumpulan utama 9 semata-mata iaitu hanya sebagai
sekadar pekerja asas, yang akan hanya menerima gaji minimum daripada majikan,
tetapi menumpukan kepada meningkatkan penglibatan belia dalam bidang-bidang 3D
yang berkemahiran tinggi yang pastinya
akan memberi pendapatan yang lebih tinggi daripada gaji minimum.
5. Kita perlu menyedari hakikat bahawa negara kita
masih lagi kekurangan tenaga mahir iaitu setakat tahun 2015, kita hanya
mempunyai 28% daripada 14.2 juta tenaga kerja, dan memerlukan sekurang-kurang
50% tenaga mahir dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020. Di negara
maju seperti Jerman, mereka mempunyai 80% tenaga kerja mahir malah di negara
jiran kita Singapura, mempunyai 58% tenaga kerja mahir.
6. Inilah cabaran kita sebagai pemimpin-pemimpin
belia agar menggalakkan belia-belia lepasan SPM atau yang sudah tidak
meneruskan pengajian dalam bidang akademik agar mengambil peluang dalam
kursus-kursus kemahiran. Statistik menunjukkan hanya 10% daripada pelajar
lepasan SPM di Malaysia yang mengikuti pendidikan vokasional dan teknikal. Ini
peratusan yang amat kecil jika dibandingkan dengan negara Jerman iaitu 59%
malah di Indonesia mencecah 51%.
7. Kita sudah sedia maklum, kerajaan melalui
Jabatan Pembangunan Kemahiran telah melaksanakan Sistem Persijilan Kemahiran
Malaysia , yang mana para belia boleh mendapatkan pentauliahan dengan cara :
a) Persijilan
melalui pusat bertauliah awam (ILP, Adtec, IKBN, IKTBN) dan swasta (lebih 1200
pusat di seluruh negara)
b) Persijilan
melalui pengiktirafan pencapaian terdahulu (PPT)
c) Sistem
Latihan Dual Nasional (SLDN) – skim yang menggabungkan orientasi latihan di
tempat kerja industri (70%-80%) dengan latihan di institusi (20%-30%).
Selain itu, skim
latihan 1Malaysia (SL1M) juga disediakan yang diseliakan oleh Unit Perancang
Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Semua skim latihan ini menyediakan latihan
dalam tempoh 6 bulan hingga 2 tahun dan menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia
tahap 1-3, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran
Malaysia. Namun begitu, takrifan pekerja mahir seperti digariskan oleh Kementerian Sumber Manusia adalah menetapkan sekurang-kurangnya seseorang pekerja mahir itu perlu memiliki pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3. Sedangkan pada masa ini, daripada 1.3juta pemegang sijil SKM, sebanyak 80% adalah pemegang sijil kemahiran yang masih berada di tahap 1 dan 2. Oleh itu, usaha bagi menggalakkan peningkatan kemahiran harus dirancakkan dan dijalankan secara berterusan.
8. Memandangkan dasar untuk pembangunan latihan teknikal
dan vokasional (TVET) di negara kita telah mula dibentangkan sejak Rancangan
Malaysia ke-11 (RMK-11) pada tahun 2015, maka sudah sampai masanya dana untuk
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ditambah bagi merealisasikan
dasar ini. Ini penting bagi menggalakkan lebih ramai belia menyertai sektor
TVET ini terutamanya dengan pembiayaan yang lebih mudah dan banyak untuk
dimanfaatkan oleh lebih ramai belia. Untuk tahun 2016 ini, pihak kami
difahamkan sebanyak RM350juta telah diperuntukkan untuk PTPK dan jumlah ini
boleh dikatakan kecil jika dibandingkan peruntukan yang diterima oleh PTPTN
iaitu sebanyak RM5billion. Oleh itu, pihak Majlis Belia Negeri Kedah ingin
mengusulkan dana PTPK ini perlu ditambah kepada sekurang-kurangnya kepada
RM1bilion setahun bagi membuka ruang lebih ramai penyertaan belia dalam skim
latihan teknikal dan vokasional terutama untuk belia lepasan SPM dan demi
mengarusperdanakan bidang latihan kemahiran di Malaysia.
9.
Di dalam keghairahan kita menubuhkan pusat-pusat
latihan teknikal ini, sudah menjadi dilema dasar latihan kemahiran apabila
tidak ada penyelarasan yang jelas dalam sektor latihan kemahiran kerana terlalu
banyak agensi yang melaksanakan fungsi serupa sehingga menyebabkan berlakunya
pertindanan yang merugikan perbelanjaan, sumber tenaga dan kualiti graduan yang
dihasilkan. Contohnya dari segi kursus yang ditawarkan dalam bidang automotif,
apabila terlalu banyak pusat menawarkan kursus yang sama dan tidak atas
permintaan industri menyebabkan berlakunya lambakan graduan yang tidak
mempunyai pekerjaan. Oleh itu, penyelarasan di peringkat antara agensi dalam
merangka kursus yang ditawarkan dan komunikasi dengan industri penting bagi
mengenalpasti kursus yang relevan dengan permintaan pasaran.
10. Walau bagaimanapun, lambakan graduan
bidang-bidang kemahiran ini dapat diatasi sekiranya mereka berminat untuk
menceburi bidang keusahawanan. Tetapi hal ini tidak berlaku kerana berdasarkan
kajian Ahmad Nabil Md Nasir (2012) dari Universiti Teknologi Malaysia
menunjukkan terdapatnya jurang kemahiran bukan teknikal di kalangan pekerja
mahir dalam bidang elektronik seperti yang dikehendaki majikan. Kemahiran bukan
teknikal ini meliputi keusahawanan, pemikiran kritikal, komunikasi dan motivasi
para pekerja mahir yang membuatkan mereka tidak menepati kemahuan pasaran. Oleh
itu, aspek ini juga perlu diambil kira dan diberi penekanan dalam kurikulum
latihan bagi memastikan kebolehpasaran pekerja-pekerja mahir kita yang bukan
sahaja membolehkan mereka bersaing di dalam negara malah dengan standard dan
nilai tambah yang tinggi membolehkan mereka berkhidmat di peringkat
antarabangsa.
11. Bagi menyahut cabaran ini, pihak Majlis Belia
Negeri Kedah ingin mencadangkan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Unit
Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) agar dapat menganjurkan jelajah kerjaya belia
dengan kerjasama setiap majlis belia daerah
dalam negeri Kedah, yang mana kita anjurkan dalam skala yang kecil dan
berfokus di kampung-kampung dan melibatkan kurang daripada 10 majikan. Program
ini juga akan bekerjasama dengan pihak JKKK setempat dan diadakan bukan sahaja
untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam bidang 3D di Kedah dan luar Kedah
tetapi yang lebih penting menawarkan peluang-peluang latihan kemahiran kepada
belia-belia kampung supaya mereka mendapat akses untuk menjadi pekerja-pekerja
mahir.
12. Akhir sekali, pihak kami memikirkan juga
elemen-elemen jatidiri seperti patriotisme, pembangunan sahsiah, kepimpinan, kemahiran
menulis resume, penampilan diri dan budaya kerja yang baik perlu juga
diterapkan kerana elemen ini agak kurang diberi penekanan di kalangan belia
luar bandar untuk menjadikan mereka lebih ‘marketable’
berbanding belia-belia di dalam bidang akademik di IPTA atau IPTS yang sering
mendapat banyak pendedahan dalam perkara ini. Pihak kami turut menawarkan diri
untuk bersama-sama dalam membangunkan elemen-elemen ini sekiranya diberi
tanggungjawab melaksanakan program-program berfokuskan sebegini.
Majlis Belia
Negeri Kedah mohon mencadang.
Disediakan oeh :
DR ZAKI ZAMANI BIN ABD RASHID,
EXCO MAJLIS BELIA NEGERI KEDAH
EXCO MAJLIS BELIA NEGERI KEDAH
Comments
Post a Comment