SKRIP TEMUBUAL BERSAMA DR ZAKI
ZAMANI BIN ABD RASHID, IKON AGENSI ANTI DADAH KEBANGSAAN (AADK)
PROGRAM PERANGI DADAH HABIS-HABISAN KUALA KEDAH
PROGRAM PERANGI DADAH HABIS-HABISAN KUALA KEDAH
DI KEDAH FM, AHAD 30 OKTOBER 2016 JAM 12 TENGAH HARI
Soalan 1 : Penyalahgunaan
dadah bukanlah satu masalah baru yang berlaku dalam masyarakat kita. Pada
pandangan Dr, apakah isu-isu yang menjadi salah tanggapan masyarakat tentang
dadah yang masih berlaku dalam masyarakat kita?
Dr Zaki : Dalam gejala penyalahgunaan
dadah ini saya dapati ada beberapa isu yang harus diketengahkan kepada
masyarakat agar mereka lebih memahami dan mudah memberi kerjasama dalam setiap
gerak kerja membanteras dadah ini apabila dilaksanakan.
1. Masyarakat harus faham, isu
dadah ini tidak harus dilihat secara berasingan. Ia tidak berlaku secara
spontan iaitu tanpa ada apa-apa pengaruh lain. Isu dadah adalah satu masalah
yang lahir daripada pelbagai masalah yang berakar umbi dalam sesebuah
masyarakat yang sedang sakit. Ia adalah simptom terakhir yang terhasil daripada
keruntuhan sistem kekeluargaan, masalah psikologi individu yang terbabit,
pengaruh persekitaran yang tidak sihat dan ketidakpedulian sistem sosial yang
wujud. Maka untuk menangani masalah dadah ini, setiap isu-isu ini harus
diselesaikan secara bersepadu dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi
menyembuhkan penyakit ketagihan ini.
2. Masyarakat harus menukar
persepsi dan menerima hakikat bahawa pengguna dadah adalah insan-insan yang
memerlukan bantuan rawatan dan sokongan daripada kita semua dan bukannya harus
diasingkan dan dicemuh. Mereka harus dianggap seperti pesakit kronik yang
sentiasa memerlukan sokongan moral dan perubatan bagi membolehkan mereka
mengatasi penyakit ketagihan ini. Walaupun pengedar dadah kita patut hukum
sekeras-kerasnya tetapi pengguna-pengguna dadah ini harus diberi peluang kedua
untuk berubah dan memulakan kehidupan baharu. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak
yang terlibat dengan dadah harus faham, apabila dijalankan aktiviti
penguatkuasaan dan anak-anak mereka ditangkap dan dihantar ke pusat pemulihan,
ini sebenarnya bukan satu tindakan penganiayaan sebaliknya ini adalah satu
pertolongan bagi memulihkan anak-anak mereka agar mampu menjadi insan yang
berguna kepada masyarakat selepas keluar daripada pusat-pusat pemulihan ini
nanti.
3. Ketum itu dadah. Walaupun dari
segi undang-undang, ketum belum diwartakan sebagai sejenis dadah di bawah Akta
Dadah Berbahaya 1952, tetapi dari segi sainsnya, ketum yang dikenali sebagai ‘mitragyna
speciosa’ mempunyai bahan mitragynine yang tergolong dalam kumpulan dadah opiod
seperti heroin dan morfin yang akan merangsang otak dan menyebabkan ketagihan.
Setakat ini, ketum belum dibuktikan melalui kajian saintifik tentang
kebaikannya kepada kesihatan manusia kecuali hanya disebut oleh perubatan
tradisional. Dalam satu kajian
di utara Semenanjung Malaysia, purata pengambilan bahan mitragynine dalam satu
minuman ketum adalah 79mg dan pengambilannya lebih daripada 3 kali sehari dalam
masa lebih 6 bulan akan menyebabkan lebih separuh daripada penggunanya akan
mengalami gejala ketagihan dan kebergantungan. Pejabat Dadah dan Jenayah
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula
telah menyenaraikan ketum sebagai sejenis dadah psikoaktif baharu dalam buku
Laporan Dadah Sedunia tahun 2013 walaupun Amerika Syarikat dan kebanyakan
Negara Eropah masih belum mengharamkannya. Kita risau senario yang membudayakan minuman ketum ini
sebagai satu minuman rekreasi tetapi atas alasan untuk tujuan kesihatan akan
mempengaruhi kanak-kanak sekolah yang seterusnya membawa mereka kepada
ketagihan jenis dadah yang lebih serius.
Soalan
2 : Bagaimanakah Dr melihat trend penyalahgunaan dadah sejak akhir-akhir ini
dan golongan manakah yang paling banyak terlibat?
Dr Zaki : Saya
melihat terdapat perubahan trend jenis dadah dan kaedah pengambilan berdasarkan
pengamatan saya melalui data statistik dan temubual dengan pengguna dadah
sendiri. Saya dapati dadah yang menjadi ancaman utama sekarang ini dan
melibatkan dari golongan pelajar sekolah hingga golongan belia dan dewasa
adalah dadah jenis Amphetamin (ATS) iaitu contohnya seperti ice, syabu, ectasy
dan pil kuda. Ia merupakan sejenis dadah sintetik yang dihasilkan melalui
tindakbalas bahan-bahan kimia yang boleh merangsang sistem saraf pusat.
Kesannya yang paling bahaya adalah ia meyebabkan mental menjadi tidak stabil
dengan kawalan emosi yang terjejas sehingga menghasilkan tingkah laku yang
agresif dan ganas. Inilah yang menyebabkan berlakunya banyak tragedi jenayah
yang menyayat hati terhadap ahli keluarga sendiri sejak akhir-akhir ini apabila
mereka hilang kawalan terhadap pemikiran mereka yang sihat. Trend ini amat
menakutkan kerana ia bukan sahaja membahayakan diri tubuh pengguna dadah
tersebut malah turut menjadi ancaman kepada masyarakat dan keluarga mereka.
Setiap anggota masyarakat perlu peka terhadap ancaman ini dan mengawal dan
mengambil berat ahli keluarga dan persekitaran masing-masing agar tidak ada
yang terjebak dengan gejala ini.
Soalan
3 : Dalam konteks Kuala Kedah, apakah yang telah dilaksanakan setakat ini dalam
menangani permasalahan dadah ini.
Dr Zaki : Untuk
Kuala Kedah, gerak kerja menangani gejala dadah ini telah mula dilaksanakan
melalui blueprint Pembangunan Kuala Kedah Lestari. Saya bersyukur kerana ia
telah dicetuskan oleh pihak AADK Negeri Kedah dan telah mendapat kerjasama yang
cukup erat daripada lebih 20 agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan untuk
sama-sama memikir dan bertindak serta mencari jalan penyelesaian bagi
membebaskan Kuala Kedah daripada belenggu dadah. Pendekatan yang diambil juga
adalah bersifat pemerkasaan komuniti iaitu terutamanya melalui Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan memastikan transformasi ini
akan lebih berkesan dan berpanjangan apabila peranan yang lebih besar dimainkan
oleh pemimpin masyarakat dan orang tempatan sendiri. Aspek kedua yang diberi
penekanan adalah strategi pencegahan dadah di kalangan nelayan yang mana
kempennya akan bermula pada bulan hadapan. Para nelayan akan diberi pendidikan
dan pendedahan tentang bahaya dadah agar mereka lebih berinformatif dalam
membuat keputusan untuk menolak penglibatan dengan dadah.
Walaupun masih banyak
yang perlu dilakukan, namun program transformasi masyarakat ini sudah pun
menampakkan hasil dan perlu disahut dengan lebih aktif oleh masyarakat setempat
sekiranya mereka mahukan kehidupan yang lebih selamat dan bermakna untuk
generasi masa kini dan akan datang. Dalam tempoh program Perangi Dadah
Habis-habisan dilaksanakan setakat ini, saya yakin masyarakat Kuala Kedah telah
sedikit sebanyak merasai perubahan dari segi suasana yang lebih selamat dan
pengurangan kes jenayah sebagai satu manfaat yang perlu dihargai. Jika program
ini mencapai matlamatnya selepas satu jangkamasa tertentu, kita akan
menyaksikan satu transformasi masyarakat Kuala Kedah bukan sekadar dalam bentuk
fizikal dan prasarananya sahaja malah akan meliputi pembangunan dalam aspek
kemajuan minda, jalinan sistem sosial yang erat dan juga kemantapan dari sudut
mental dan kerohaniannya. Insha Allah.
Akhir
sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada
pasukan bolasepak Kedah untuk perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam ini.
Insha Allah Piala Malaysia milik kita tahun ini. Pulun Kedah Pulun.
Comments
Post a Comment