KISAH VIRAL KANAK-KANAK OKU

Selaku Pengerusi Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Daerah Kota Setar, pada 11 Jun 2024, saya telah mempengerusikan satu persidangan kes yang membincangkan kes seorang kanak-kanak OKU (spastic quadriplegic cerebral palsy) yang berumur 9 tahun. Kes ini viral dalam satu akaun media sosial dan telah mendapat perhatian masyarakat.

Berikutan itu, kanak-kanak ini telah diselamatkan oleh Pelindung Kanak-kanak JKM minggu lalu dalam satu lawatan bersama pegawai AADK, pegawai perubatan dan staf Klinik Kesihatan Kuala Kedah di rumah teman lelaki ibunya di sebuah kampung di Kuala Kedah. Ibunya juga merupakan seorang OKU (below knee amputation) penerima bantuan JKM dan pesakit dialisis.

Dalam lawatan tersebut, didapati persekitaran rumah adalah sangat tidak sihat dan ujian saringan dadah teman lelaki itu pula didapati positif. Setelah jelas sememangnya terdapat unsur-unsur pengabaian, kanak-kanak ini kemudiannya telah dibawa untuk rawatan dan saya berkesempatan melawatnya di hospital baru-baru ini dan mendapati keadaannya semakin sihat dan ceria.

Dalam persidangan kes ini, yang turut dihadiri oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Imam Masjid Putra Kuala Kedah, Pegawai Zakat Daerah, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Kedah dan Pegawai AADK, kami telah membincangkan kaedah paling ideal untuk memastikan penempatan terbaik untuk anak syurga ini. Penempatan di institusi adalah jalan terakhir dan kami masih cuba memberi peluang untuk pemeliharaan berasaskan keluarga. Alangkah baiknya jika sumbangan yang telah dikutip untuknya oleh pihak tertentu dapat digunakan untuk menempatkan beliau di kediaman yang lebih sempurna bersama keluarganya. Inilah kaedah yang terbaik bagi membantu keluarga ini keluar dari sarang penagihan.

Sebenarnya perjalanan kes ini masih panjang, masih banyak isu yang perlu diselesaikan oleh pihak kami. Namun saya bersyukur, dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi, saya yakin kita dapat memberikan masa hadapan yang jauh lebih baik buat anak syurga ini.










Comments