KISAH VIRAL KANAK-KANAK OKU SIRI 2

Permulaan satu kehidupan baharu. Dengan kerjasama semua pihak, kanak-kanak OKU ini telah selamat ditempatkan di sebuah rumah sewa baharu di Alor Setar. Kisahnya boleh dirujuk dalam posting saya sebelum ini :


Alhamdulilah, setelah pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) meluluskan bantuan untuk deposit sewa rumah, sebuah rumah sewa baharu telah dikenalpasti. Ia sangat sesuai kerana agak berdekatan dengan rumah nenek dan ibu saudaranya. Abang kandungnya yang berusia 20 tahun yang terpisah pula sanggup untuk berpindah dan bertukar kerja untuk menjaganya ketika ibu mereka menjalani rawatan haemodialisis. Pihak JKM pula akan menguruskan bantuan bulanan untuk sara hidup beliau selepas ini.

Rumah ini yang mulanya kosong, telah diisi dengan pelbagai peralatan dapur dan keperluan perabut. Semua ini adalah atas usaha Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM dan Ahli-ahli Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Daerah Kota Setar yang begitu komited demi menyediakan persekitaran yang lebih sihat. Kanak-kanak Rumah Kebajikan Superkids pula bergotong-royong membantu membersih dan mengemas rumah ini. Inilah rumah yang cukup sifatnya untuk didiami jika dibandingkan rumah beliau sebelum ini yang tiada bilik air dan hanya berlantaikan tanah di Kuala Kedah.

Apa yang menyedihkan, pihak kami dimaklumkan seorang ‘ustaz’ yang memviralkan kisah ini melalui media sosial sudah tidak dapat dihubungi oleh keluarga ini. Ibu kanak-kanak ini memberitahu beliau hanya menerima RM300 sahaja daripadanya sedangkan dia telah menjalankan kutipan sumbangan untuk kanak-kanak OKU ini melalui satu akaun peribadi. Untuk makluman, video tiktok yang memaparkan kisah kanak-kanak ini telah menerima tontonan hampir 300 ribu. Alangkah baiknya jika semua sumbangan yang diterima dapat disalurkan terus kepada keluarga ini.

Walau bagaimanapun, saya bersyukur anak syurga ini dapat juga dibantu dengan kerjasama pelbagai pihak. Beliau berada lebih 40 hari juga di wad kanak-kanak untuk rawatan. Pada 10 Julai 2024, akhirnya beliau dapat discaj dari hospital dan dengan cerianya tinggal di rumah yang lebih sempurna untuk sebuah kehidupan baharu.



Comments