Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak 2025 Daerah Kota Setar telah diadakan pada 16 Oktober 2025 dan dirasmikan oleh Encik Syahrul Nasir bin Mat Rais, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Kanak-kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah.
SMK Seri Pantai, Kuala Kedah telah dipilih sebagai tuan rumah untuk tahun ini. Selain acara pameran agensi, pengisian juga meliputi forum yang dibarisi oleh ahli panelnya yang terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Kanan Polis Unit D11 dan Ketua Unit Pembangunan Kanak-kanak JKM Daerah sendiri, yang membincangkan isu-isu sosial remaja semasa yang relevan bagi memperkasakan pengetahuan dan amalan mereka.
Dalam ucapan, saya memetik penulisan Prof Diraja Syed Muhammad Naquib yang menyebut tentang krisis kehilangan adab yang sedang berlaku sehingga menyebabkan kehilangan jiwa dan minda di kalangan masyarakat kita. Anak muda adalah golongan yang paling terkesan terutamanya apabila berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan. Elemen Ta’dib (proses pendidikan untuk memupuk akhlak dan adab) melalui pembangunan sahsiah (character) harus didahulukan dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada unsur penting dalam takrifan kecemerlangan akademik.
Kehilangan adab dan kekeliruan ilmu, menurut Prof Diraja Syed Muhammad Naquib juga akan melahirkan pemimpin palsu dalam masyarakat. Bukan sekadar pemimpin politik tetapi pemimpin komuniti dan golongan pentadbir masyarakat yang gagal berperanan kerana lebih mementingkan populariti dan kedudukan sehingga menyebabkan golongan rentan yang memerlukan perlindungan dan pembelaan menjadi mangsa.
Saya juga menekankan sekolah harus didaya upayakan sebagai benteng kedua (apabila benteng pertama iaitu keluarga telah gagal) bagi membendung natijah krisis adab ini berdasarkan situasi dan tragedi yang berlaku pada hari ini. Bibit-bibit negatif harus dikesan lebih awal supaya dapat diadakan intervensi agar implikasi buruk seperti penglibatan pihak penguatkuasa dan perlakuan jenayah dapat dielakkan.
Pihak sekolah juga harus sentiasa mengalu-alukan semua pihak terutamanya jabatan lain yang mahu turut sama membantu anak-anak pelajar kita di sekolah dan bukannya meremehkan usaha ini melalui karenah birokrasi dan keengganan mengakui wujudnya masalah dan bersikap dingin terhadap pihak lain yang ingin membantu atas alasan mahu menjaga nama baik sekolah.


























Comments
Post a Comment