Pada 22 Januari 2026, saya mengetuai rombongan agensi dan NGO Daerah Kota Setar dan Pokok Sena telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Karangan, Kulim. Rombongan seramai hampir 50 orang ini adalah anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) dan AADK Daerah Kota Setar & Pokok Sena turut disertai oleh Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah, Unit Pembangunan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar dan Pokok Sena, Pasukan Pelindungan Kanak-kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-kanak Daerah Kota Setar dan Pokok Sena, Unit Psikiatri Kanak-kanak dan Unit Psikiatri Ketagihan Hospital Sultanah Bahiyah, Bahagian Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kedah serta Majlis Belia Daerah Kota Setar.
Kehadiran kami disambut dengan persembahan khas qasidah yang merdu oleh klien-klien Puspen ini. Seterusnya Puan Zuraidah binti Ayob, Pengarah Puspen Karangan telah menyampaikan taklimat berkaitan program dan operasi Puspen. Puspen ini menerima klien yang berumur 13 hingga 25 tahun, dan buat masa ini ia dihuni oleh 76 orang klien. Yang istimewanya Puspen ini mempunyai sekolahnya sendiri yang melaksanakan Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) sejak 2015 yang memberi peluang kepada klien yang tercicir persekolahan. Mereka berpeluang mengikuti pembelajaran untuk 6 subjek teras dan seterusnya boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada tahun 2025 lalu, seramai 16 orang klien berumur 17 hingga 21 tahun telah berjaya mengambil peperiksaan SPM.
Selain itu, Puspen ini juga menyediakan program latihan kemahiran dengan kerjasama Giat MARA untuk bidang jahitan dan kimpalan. Kami dibawa meninjau bengkel jahitan dan didapati hasil kerja tangan klien-klien di sini sangat bermutu tinggi.
Sesi temubual juga diadakan melibatkan beberapa orang klien, antaranya seorang klien berumur 20 tahun yang mengaku mula terlibat dadah sejak darjah enam lagi dan dia bermula dengan penagihan ketum dan kemudiannya syabu. Ada seorang klien berumur 18 tahun yang dimasukkan secara sukarela ke sini oleh ibu bapa kerana gangguan mental teruk akibat penggunaan vape yang kononnya berperisa ‘mushroom’.
Puspen Karangan ini harus diwar-warkan kepada masyarakat awam sebagai sebuah pusat rawatan pemulihan yang ideal untuk kanak-kanak yang terlibat dengan gejala penagihan dadah. Ini kerana ia tidak menafikan peluang pendidikan sama ada dalam bidang akademik atau kemahiran walaupun ketika klien sedang menjalani rawatan pemulihan dalam institusi ini. Kemasukan ke Puspen ini secara sukarela adalah amat digalakkan.
































Comments
Post a Comment