Pada 25 Februari 2026, saya telah menghadiri perbicaran 4 kes sebagai Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-kanak. Semua kes ini adalah kes rogol yang melibatkan 4 orang remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun yang dilakukan ke atas seorang kanak-kanak perempuan yang sama yang berumur 13 tahun yang berlaku pada masa dan tempat yang berbeza. Mereka semua belajar di sebuah sekolah yang sama di Alor Setar.
Mereka penama yang dibicarakan telah diperintahkan oleh Majistret untuk menjalani perintah khidmat masyarakat, bon berkelakuan baik dan diwajibkan menghadiri sesi bengkel interaktif dan kaunseling bersama ibu bapa anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM). Salah seorang daripada mereka akan dihantar ke institusi iaitu Sekolah Tunas Bakti kerana turut mempunyai masalah disiplin lain yang serius.
Atas sebab mereka di bawah umur 18 tahun, berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001 pendekatan perintah mahkamah adalah lebih bersifat memulih daripada menghukum sebagai memberi peluang kedua walaupun ini adalah satu jenayah berat. Semoga peluang ini dapat menginsafkan mereka untuk menjadi insan dan warganegara yang lebih bertanggungjawab dan berguna serta jauh daripada jenayah.
Untuk kebajikan mangsa pula, saya telah meminta pihak JKM agar memastikan kanak-kanak tersebut telah dirujuk untuk rawatan sama ada dari segi psikologi atau psikiatri.

Comments
Post a Comment