KES PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DI MAHKAMAH

Sampai giliran saya untuk bertugas sebagai Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-kanak pada 20 Mei 2026. Ada dua kes perlindungan dan satu kes jenayah. Kes jenayah pecah rumah ini telah ditetapkan akan dibicarakan pada tarikh lain kerana kanak-kanak terbabit tidak mengaku salah.

Kes perlindungan pertama melibatkan seorang kanak-kanak OKU berumur 13 tahun yang tular kerana sentiasa ditemui berkeliaran meminta makanan di sekitar Bandaraya Alor Setar. Dia diserahkan semula kepada ibu angkatnya dengan akujanji bahawa akan memastikannya mendapat penjagaan, kawalan dan peluang pendidikan yang sebaiknya. Saya bersetuju dengan syor Pegawai Pelindung dan memaklumkan ini adalah peluang terakhir diberikan kepada ibu angkatnya, jika masih berlaku pengabaian, JKM akan menempatkan anak angkatnya itu secara kekal di rumah institusi JKM seperti 3 bulan lalu.

Satu lagi kes agak menyedihkan bagi saya. Seorang kanak-kanak OKU (ADHD) berumur 7 tahun dipohon perintah mahkamah untuk ditempatkan sementara di institusi JKM. Ibunya telah meninggal dunia dan kini dia dijaga oleh bapa tirinya yang mengidap kanser otak. Bapa tirinya tidak mampu menjaganya kerana perlu sentiasa menerima rawatan kemoterapi di Pulau Pinang. Tiada saudara mara lain yang sanggup menjaganya atas alasan dia sukar dikawal. Saya menyatakan kepada Puan Majistret keutamaan harus diberikan kepada pemeliharaan berasaskan keluarga untuk kanak-kanak ini supaya dia mendapat kasih sayang dan membesar dalam suasana kekeluargaan yang normal. Semoga dalam tempoh sebulan ini, ada ahli keluarga yang tampil dan sanggup menjaganya agar dia tidak ditempatkan secara tetap di institusi JKM di Negeri Sembilan yang bagi saya merupakan jalan terakhir.



Comments